Drama tersebut adalah Salon, Jibril dan The Bridge yang akan disiarkan menerusi saluran NTV7 dengan kerjasama Media Prima Television Networks pada hari yang sama tayangan dalam saluran digital Viu.

Ini merupakan kali pertama jenama OTT serantau bekerjasama dengan penyiar televisyen terbesar Malaysia dari segi kandungan yang disiarkan pada hari yang sama. Tiga drama baharu tersebut dijadualkan untuk penyiaran bermula September depan.

Untuk pertama kalinya, penonton berpeluang menonton drama arahan Kabir Bhatia, Salon, terbitan Monsoon Pictures yang dijayakan oleh Julia Farhana Marin, Idris Khan dan Iman Corinne.

Salon bermula dengan watak Anna membuka sebuah salon baharu dan menjadi bualan orang di ibu kota. Tiada siapa pun tahu bahawa Anna memiliki sejarah silam yang menyedihkan.

Pembukaan salon tersebut adalah bertujuan untuk menjejaki pembunuh yang membunuh anggota keluarganya beberapa tahun dulu demi menuntut keadilan mengikut caranya sendiri dengan melakukan pembunuhan demi mencapai matlamatnya.

Kemudian pada bulan Oktober, Konda Kondi Studios dengan kerjasama pengarah Megat Sharizal menghasilkan drama Jibril lakonan Aeril Zafrel, Lisa Surihani, Zahiril Adzim dan Sangeeta Krishnasamy.

Drama ini mengisahkan seorang peguam, Jibril yang memiliki kepintaran luar biasa, ketampanan dan kelebihan melakukan kesimpulan. Urutan peristiwa membawa kepada beberapa kes kematian dan pembunuhan.

Jibril dipanggil untuk membela seorang daripada suspek dan maka bermulalah pendedahan mengenai pertubuhan rahsia yang melakukan keganasan dan pemburuan terhadap ketuanya yang licik menyembunyikan diri.

Sementara itu, The Bridge yang akan disiarkan pada November nanti merupakan kerjasama antara Viu dengan rakan kongsi lamanya, Double Vision untuk menghasilkan drama 10 episod, arahan TJ Lee.

Drama lakonan Bront Palarae, Rebecca Lim, Cheryl Samad dan Tony Eusoff itu berkisar tentang satu mayat yang ditemui di sempadan Malaysia dan Singapura. Pertemuan mayat itu membuatkan penyiasat kedua-dua negara terpaksa menjalin kerjasama untuk menyelesaikan kes tersebut.

The Bridge (Bron/Broen) asalnya dicipta dan ditulis oleh Hans Rosenfeldt sebagai produksi bersama Filmlance International dari Sweden, sebahagian daripada Endemol Shine Group dan Nimbus Film dari Denmark.

The Bridge akan diterbitkan di dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin, manakala Salon dan Jibril di dalam bahasa Melayu. Semua drama akan memaparkan bakat terbaik Malaysia dan akan disiarkan buat kali pertama di NTV7 dan kemudian Viu sejurus kemudian.

Ia sememangnya telah menjadi matlamat Viu untuk menyokong bakat tempatan yang baharu meningkat dengan menyediakan mereka platform untuk mengoptimumkan kreativiti mereka. Ini merupakan pertama kali Viu Malaysia menerbitkan filem drama sendiri dan ketiga-tiga siri ini akan disiarkan di semua wilayah Viu di peringkat global.

Viu telah menerbitkan lebih 900 episod kandungan asli drama di rantau lain termasuk Kenapa Harus Bule dan Sunshine dari Indonesia dan It Happened in Hong Kong, Love, Lust and Confusion dan Kaushiki dari India.

Untuk mengikuti Viu Malaysia sila lawat www.facebook.com/ViuMalaysia atau @ViuMalaysia di Instagram. - UTUSAN ONLINE