Rata-rata memuji vokal dan lagu yang dipersembahkan namun apabila yang menyanyi itu tidak ‘menjelma’ dalam bentuk wajah manusia, Ulat Bulu Man mendapat perhatian ramai.

Ketika dihubungi Utusan Online, Ulat Bulu Man yang merupakan anak kelahiran Negeri Sembilan mengakui dia sebenarnya merupakan penyanyi yang sudah lama berada di dalam industri hiburan.

Namun sengaja tampil konsep sedemikian untuk menarik minat orang ramai melalui cara merahsiakan segala butirannya tentang dirinya.

“Lagu Puisi Buat Perompak itu dicipta oleh seorang komposer tempatan, Oja dan liriknya pula dihasilkan oleh kami berdua.

“Lagu yang diterbitkan Tunable Record Sdn. Bhd. bersama dengan Luncai Emas Sdn. Bhd. ini dituju khas kepada generasi yang semakin leka dengan dunia khususnya anak muda yang sanggup melakukan kerja terkutuk seperti meragut merompak,” katanya.

 

Bertanya lebih lanjut tentang penampilan itu, Ulat Bulu Man memberitahu dia bukan sahaja mahu dikenali sebagai penyanyi malah turut berharap Ulat Bulu Man akan diterima sebagai salah seorang superhero baharu.

“Untuk ketika ini, saya sedang menjalani penggambaran bagi menyiapkan teaser pertama di bawah arahan pelakon muda, Hanis Kamal Bakar.

“Namun untuk masa akan datang, satu projek filem pendek tentang kisah superhero Ulat Bulu Man akan turut dihasilkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE