Video oleh KHADIJAH IBRAHIM

Pelakon Hwang Jung-min yang membawakan watak Lee Kang-ok berkata, biarpun sudah biasa berlakon dalam filem arahan pengarah Ryoo Seung-wan tetapi selepas membintangi The Battleship Island, kalau diberi pilihan, dia tidak akan berlakon lagi.

“Ini kali ketiga saya berlakon di bawah arahan dia, tapi filem ini berbeza kerana ini berdasarkan kisah benar dan lokasinya pula di lombong arang batu. Apa pun saya seronok berlakon filem ini kerana dapat bergandingan dengan dua pelakon ternama,” katanya yang pandai bermain klarinet.

Selain Jung-min, filem ini turut menampilkan dua lagi bintang gred A iaitu aktor So Ji Sub dan Song Joong Ki yang masing-masing melakonkan watak Choi Chil-sung dan Park Moo-young.

Pengarah Ryoo Seung-wan mengambil masa kira-kira empat tahun untuk membuat penyelidikan sebelum menjalankan penggambaran filem The Battleship Island.

Jelas Seung-wan, bukan mudah untuk dia mencari bahan sejarah tentang perkara tersebut sehinggakan dia terpaksa pergi sendiri ke pulau berkenaan.

“Saya bernasib baik kerana ada yayasan yang menaja sepanjang saya melakukan penyelidikan. Saya dan kru filem telah melakukan yang terbaik bagi memastikan filem ini dapat menyentuh hati penonton.

“Selain kru yang komited dengan tugas masing-masing, saya juga beruntung kerana pelakon yang berlakon dalam filem ini adalah pelakon gred A. Mereka tahu tanggungjawab dan saya tidak perlu untuk mengarah mereka berlebihan bagi menghidupkan watak masing-masing,” jelasnya.

Sementara itu, Ji Sub memberitahu dia bersetuju untuk berlakon The Battleship Island tanpa mengetahui watak yang bakal dibawa kerana mahu bekerja dengan Seung-wan.

“Siapa yang tidak kenal Seung-wan yang banyak menang anugerah dan bila ditawar berlakon, saya terus terima tanpa mengetahui watak yang akan dibawa.

“Benar kata Jung-min, filem ini benar-benar mencabar. Untuk adegan saya saja, iaitu bergaduh di bilik mandi awam, latihan yang saya lakukan untuk adegan tersebut hampir sebulan. Untuk babak itu sahaja, saya perlu berhati-hati untuk elak berlaku sebarang kecederaan dan kami berjaya merakamnya tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini,” jelasnya.

Bagi Joong Ki yang menerima skrip filem tersebut sewaktu menjalani penggambaran drama Descendants of the Sun, dia bersetuju untuk berlakon kerana watak yang diberi masih seorang askar.

“Selain mahu berlakon di bawah pengarah tersohor, saya bersetuju kerana watak yang diberi tidak jauh bezanya dengan (watak Kapten Yoo Si Jin) di dalam drama Descendants of the Sun.

“Bagi saya filem ini penuh dengan momen yang menyentuh hati kerana keperitan yang dialami oleh buruh-buruh berkenaan dan anak-anak yang kehilangan ibu bapa,” katanya.

Ketiga-tiga pelakon dan pengarah itu berkunjung ke Malaysia bagi menjayakan promosi filem yang akan ditayangkan di pawagam tempatan mulai 17 Ogos ini. - UTUSAN ONLINE