Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, pementasan yang bakal diadakan kelak membawa judul Parameswara kurun ke 13/14.

“Saya amat berpuas hati dengan pementasan Tun Fatimah Serikandi Empaya Melaka pada malam ini (Jumaat, 21 Oktober).

“Oleh itu saya percaya pihak Istana Budaya dapat membantu merealisasikan pementasan Parameswara di Panggung Bangsawan ini pada tahun hadapan,” katanya kepada Utusan Online usai pementasan teater Tun Fatimah dan sekaligus meraikan ulang tahun kelahiran Tun Mohd. Khalil yang ke-79 kelmarin.

Menurut Idris, teater Parameswara yang bakal diangkat ke Panggung Bangsawan Melaka yang pernah suatu ketika dahulu menjadi pusat perdagangan antarabangsa.

Justeru kata Idris, zaman kegemilangan Melaka pada kurun ke 13 dan 14 masih dapat dinikmati pada hari ini yang memperlihatkan kestabilan politik, perkembangan ekonomi dan sosial di Melaka.

Idris berkata, Melaka mengiktiraf pelakon antarabangsa selain daripada pelakon tempatan.

Oleh itu sekiranya teater Parameswara mahu mengambil pelakon dari luar kata Idris, pihaknya membuka pintu kepada artis betkenaan.

Video oleh HASNURUL MOHAMED

Sementara itu, Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), Datuk Ab. Rahman Ismail pula berkata, kejayaan pementasan teater bangsawan Tun Fatimah Serikandi Empayar Melaka yang dijayakan oleh aktor anak kelahiran negeri Melaka, Remy Ishak bergandingan dengan aktres Maya Karin dan turut dijayakan oleh aktor Ashraf Muslim amat memuaskan hati CMI selaku penganjur utama pementasan.

Ekoran itu, kata Ab. Rahman, pihak kerajaan negeri merencanakan satu pakej pelancongan di bawah Tourism Melaka untuk tahun 2018.

“Kita mensasarkan untuk menarik 160,000 orang pelancong luar negara datang ke Melaka pada tahun hadapan.

“Jadi bermula pada April 2018, setiap hujung minggu kita bakal mengadakan persembahan kebudayaan,” jelasnya.

Tambahnya, persembahan kebudayaan yang bakal diadakan tahun hadapan ialah persembahan kebudayaan masyarakat ceti, baba nyonya dan Portugis termasuk persembahan dondang sayang yang amat sinonim dengan negeri Melaka.

“Melaka menerima 16.2 juta pelancong pada tahun 2016 dan jika berdasarkan jumlah itu, persembahan kebudayaan yang bakal diadakan pada April tahun depan dapat menarik perhatian sekurang-kurangnya satu peratus, kita tetap berpuas hati,” katanya.

Besar kemungkinan Panggung Bangsawan Melaka yang pentasnya tidak sebesar, seluas ataupun secanggih Istana Budaya di Kuala Lumpur namun ada benarnya kata-kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, “tiada rotan, akar pun berguna” dapat menarik khalayak penonton teatet untuk menyaksikan teater Parameswara 2018 dan sekali gus menarik lebih ramai lagi pelancong ke Melaka untuk menyaksikan persembahan kebudayaan. - UTUSAN ONLINE