ELYANA
ELYANA

Beliau bukan sahaja memerlukan bantuan kewangan tetapi yang lebih penting, pelantun lagu berjudul Diriku Tapak Sulaiman ini memerlukan sokongan emosi daripada keluarga, rakan-rakan dan masyarakat.

Walaupun Elyana tidak pernah menagih simpati tetapi beliau mengaku, apabila menghidap kanser limfoma lebih tujuh tahun lalu, segala wang ringgit yang ada dalam simpanannya disalurkan untuk perubatan terutamanya bagi menampung kos untuk menjalankan kimoterapi dan pembelian suplement yang bersesuaian bagi dirinya.

Kecekalan semangat yang ada pada diri Elyana untuk terus hidup bersama anak dan suami serta keluarga membuatkan penyanyi lagu Kalis Rindu itu masih ada sehingga ke hari ini.

Oleh itu, apabila hari ini, pihak Kementerian Pendidikan (KPM) mengujudkan Tabung Kanser Elyana, artis yang pernah menyertai program realiti televisyen, Gegar Veganza musim keempat ini terharu dengan keprihatinan yang diberikan kepada dirinya.

“Saya rasa terharu kerana ada orang yang prihatin diri saya disayangi. Sebagai pesakit kanser, ini meningkatkan semangat saya dan secara tidak langsung, ia menyembuhkan sedikit diri ini.

“Bagi saya, sumbangan masyarakat ke atas penghidap kanser tidak semestinya dari segi kewangan tetapi yang lebih kami utamakan ialah kata-kata semangat untuk meneruskan kehidupan.

“Maklumlah, orang akan beranggapan apabila seseorang itu disahkan menghidap kanser, ini adalah penyudah atau penamat kepada sebuah kehidupan,” kata Elyana kepada wartawan Utusan Online ketika ditemui usai majlis pelancaran Tabung Kanser elyana dan Tabung Amal Silaturahim Rakan-Rakan Rockers Otai Klang sempena Karnival Puspanita Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2018.

Turut hadir pada majlis pada petang tadi, Pengerusi Puspanita Cawangan KPM, Datin Seri Azizah Sulaiman dan artis-artis yang mewakili rockers otai Klang iaitu Korie, Poey dari kumpulan Sting dan Wan dari kumpulan Fair.

Elyana berkata, dengan adanya Tabung Kanser Elyana itu, beliau berniat mahu membantu para pesakit kanser yang lain kerana sekurang-kurangnya, duit yang ada, sedikit sebanyak mengurangkan beban kewangan dan memberi harapan kepada penghidap kanser.

Kata Elyana lagi, beliau seboleh-bolehnya mahu mengikis tanggapan dan pandangan orang ramai bahawa pesakit kanser tidak mempunyai harapan untuk hidup yang panjang.

“Saya kembali di persada seni atas dorongan para peminat. Maka itulah, saya berjanji kepada diri sendiri untuk membantu pesakit kanser yang lain dengan mengadakan aktiviti bukan sahaja untuk pesakit kanser dewasa tetapi juga yang melibatkan pesakit kanser dalam kalangan kanak-kanak.

“Aktiviti itu akan melibatkan juga kaum keluarga pesakit kanser kerana mereka ini adalah penyokong dan pendorong semangat kepada ahli keluarga yang menghidap kanser. Keluarga ini penting dan mereka juga memerlukan sokongan emosi dan moral.

“Dengan tertubuhnya Tabung Kanser Elyana ini bukanlah untuk saya meraih simpati tetapi saya terima dengan hati yang terbuka dan amat menghargai Puspanita KPM,” ujarnya.

Dengan pelancaran tabung tersebut, pada 12 Mei nanti bertempat di Putrajaya, Puspanita KPM akan mengadakan Karnival bertemakan Hargai Wanita dan Wanita Perkasa kerana wanita juga memacu pembangunan negara.

Pada hari itu nanti, disasarkan 15,000 penyertaan pelbagai acara termasuk Srikandi Run 2018 ataupun Larian Srikandi 2018 yang mana bayaran penyertaan larian itu nanti, RM1 setiap peserta akan disalurkan ke Tabung Kanser Elyana.

Bagi orang ramai yang mahu menyalurkan bantuan kewangan kepada Tabung Amal Silaturahim Rakan-Rakan Rockers Otai Klang, boleh berbuat demikian dengan menyalur terus kepada Warisan Sound di akaun CIMB, 8002856072.

Kedua-dua tabung berkenaan dibuka sehingga hari karnival berlangsung. - UTUSAN ONLINE