Menerusi lagu Potret kumpulan ini meluncur laju dengan beroleh kejayaan meraih anugerah dan sekaligus mengangkat populariti grup yang hari ini dianggotai lapan ahli.

Hari ini Akim, Gjie, Freddy, Zimi, Afiez dan Wan mengadakan majlis pelancaran single dan muzik video terbaharu mereka yang berjudul Stereotype.

Pada majlis yang sama pada petang ini, turut diumumkan secara rasmi syarikat milik Akim dan isterinya, penyanyi lincah lagi energetik, Stacy, Rhythm and Rhyme Entertainment (R&R Entertainment) serta perjanjian usahasama (MoU) dengan Nova Music yang bertanggungjawab mengedar single Stereotype.

“Kita ketengahkan konsep retro rock EDM dalam muzik Stereotype yang mana konsep muzik begini belum pernah dibuat di Malaysia.

“Dengar sendiri Stereotype dan anda akan faham apa yang dimaksudkan,” kata Zimi selaku ketua kumpulan AKM.

Melodi Stereotype tidak dinafikan mempunyai pengaruh melodi lagu-lagu yang pernah dilahirkan oleh kumpulan KRU.

Bahkan, sekali dengar lagu Stereotype mempunyai bunyi yang ada dalam lagu berjudul Jahat nyanyian Stacy.

Sama ada ia berlaku secara kebetulan ataupun mengikut halwa telinga individu, Stereotype ciptaan Akim yang menggunakan nama Hang Nadim dan Laq.

“Stereotype dilahirkan sebagai sebuah lagu yang berkarekter cuma ia menggunakan konsep baharu yang dibawakan oleh ATM.

“Lagu 70-an dan 80-an ada bezanya. Penyampaian dan melodi yang dipilih tetap ada kemelayuannya kerana kami, ATM mahu bunyi Melayu ada dalam Stereotype agar sejajar dengan teknologi canggih yang ada pada zaman sekarang,” ujar Zimi sambil disokong oleh Afeq.

Tambah Zimi, retro rock Melayu ATM boleh pergi jauh dan tidak mustahil konsep ini boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Stereotype kata Akim, adalah single baharu AKM yang keluar daripada zon selesa.

Tidak seperti lagu Mewangi dan Potret, Stereotype jelas Akim, adalah cubaan ATM untuk melihat reaksi dan penerimaan peminat.

“Jujur saya katakan lagu Stereotype dicipta untuk dinyanyikan oleh wanita. Sama situasinya dengan lagu untuk Laila tetapi ATM rakam dan nyanyi lagu Stereotype.

“Perubahan ini adalah untuk melihat apakah peminat boleh terima atau tidak,” ujar Akim.

Pembikinan muzik video Strreoty diadakan di PLAY K - POP yang terletak di Jeju Jungmun Resort, Pulau Jeju, Korea Selatan.

PLAY K - POP merupakan taman tema digital yang menggabungkan teknologi media baharu dan muzik k-pop. - UTUSAN ONLINE