Berita gembira itu dikongsi menerusi Instagram beliau sempena ulang tahun ke-39 hari ini dan disambut penuh rasa teruja oleh peminat-peminatnya yang sejak beberapa bulan lalu berteka-teki mengenai jantina zuriat isteri Datuk Seri Khalid Moha­mad Jiwa itu.

Bakal bergelar ibu di usia tersebut, Siti Nurhaliza memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana mengurniakan rezeki yang terlalu agung selepas 11 tahun sabar menanti.



Menyedari tanggungjawab se­­bagai seorang ibu bukan mudah untuk dipikul, Siti Nurhaliza dalam ucapan te­rima kasihnya mengambil ke­sempatan me­rakamkan penghargaan kepada semua wanita bergelar ibu kerana telah banyak berkorban dalam membesarkan seorang anak.

Bahkan, secara peribadi, Siti Nurhaliza mengucapkan rasa terima kasih kepada ibunya, Siti Salmah Bachik yang melahirkannya serta pengorbanan bapanya, Allahyarham Tarudin Ismail yang bekerja keras membesarkan beliau dan adik-beradiknya.

“Di usia 39 tahun ini, saya rasa cukup bermakna. Allah memakbulkan doa saya untuk bergelar seorang ibu. Memikul tanggungjawab sebagai ibu bukan mudah dan proses kehamilan ini membuatkan saya lebih menghargai pengorbanan mereka.

“Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana memberi keberkatan dan keistimewaan ini. Saya juga sentiasa mengi­ngat­kan diri untuk bersyukur dengan apa yang diberikan oleh Tuhan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Jerat Percintaan itu juga bersyukur kerana setelah beberapa bulan berehat, beliau masih menerima ucapan dan doa tulus ikhlas daripada peminat seluruh dunia.

“Bila berehat, saya ingatkan peminat akan buat ucapan sahaja. Tetapi banyak juga stesen radio yang memainkan lagu-lagu saya. Saya sangat terharu dan berterima kasih.

“Saya tak sangka akan dihargai sebegitu tinggi. Saya hanya penyanyi yang suka menghiburkan peminat. Anak seni yang mahu berkongsi bakat kurniaan Ilahi. Doakan kesihatan dan ke­selamatan semasa me­lahirkan anak nanti,” katanya lagi.

Siti Nurhaliza mengumumkan kehamilan beliau dalam satu sidang akhbar yang diadakan di kediamannya pada 13 Oktober lalu.