Izara, 25, dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya menyatakan video tersebut merupakan sebuah rakaman yang lama dan bukannya sewaktu majlis Anugerah Bintang Popular yang berlangsung Ahad lalu.

Dalam pada itu, Izara turut menyatakan sebelum ini dia pernah mengemukakan permohonan maaf berhubung kejadian berpakaian seksi dan berusaha untuk tidak mengulangi kesilapan sama. Manakala rakaman video tersebut berlaku sebelum dia memohon maaf.

“Assalamualaikum. Saya ingin memohon maaf kepada keluarga, peminat-peminat, dan setiap orang yang tersinggung dengan video yang tersebar di mana saya menghadiri acara fesyen. Video itu sudah lama, dan bukanlah dari Anugerah Bintang Popular yang baru sahaja berlalu.

“Saya tidak membuat kesilapan yang sama setelah saya meminta maaf. Sebelum ini saya pernah meminta maaf kerana saya pernah memakai pakaian yang tidak sopan. Setelah itu, saya tidak lagi ulanginya lagi.

Waktu majlis yang dalam video itu, ia adalah sebelum saya pernah memohon maaf kepada semua. Sejak itu (permohonan maaf) saya terus berubah ke arah kebaikan,” katanya,

Video tersebut tular di laman sosial selepas ia mula dikongsi menerusi aplikasi WhatsApp sejak Sabtu lalu.

Tambahnya, dia kesal dengan penyebaran video selepas dia mengumumkan bakal bernikah dengan anak Datuk Khalid iaitu Adib Mohd. Khalid pada tahun ini.

“Video itu disebarkan dua minggu selepas Adib dan saya mengesahkan cadangan kami untuk berkahwin pada tahun ini.

“Walaupun saya teramat sedih dan malu dengan kelakuan seseorang membuka aib saya sebegitu, saya terima tanggungjawab ini sepenuhnya dan memohon maaf kepada semua.

“Saya juga anggap ini sebagai suatu dugaan Allah, dan peringatan bagi saya. Saya mempunyai tanggungjawab ke atas peminat-peminat dan akan berusaha untuk menjadi contoh yang lebih baik. Terima kasih,” tulisnya. - UTUSAN ONLINE