Video oleh SAJIDAH ASARULAH KHAN

Dia yang popular menerusi lagu Suci Dalam Debu, hari ini menerima kunjungan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan isteri, Toh Puan Seri Halina Zakaria.

Dalam pertemuan kira-kira 15 minit itu, Saleem atau nama sebenarnya, AM Salim Abdul Majeed turut mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Razif yang menziarahinya.

Walaupun dalam keadaan fizikal yang lemah dan wajahnya kelihatan cengkung, namun Sa­leem masih mampu tersenyum dan ketawa kecil ketika berbual dengan Ahmad Razif.

Dalam suara yang tersekat-sekat, penyanyi kelahiran Setiu itu berulang kali mengungkapkan bereh boh apabila dinasihatkan Ahmad Razif supaya menjaga kesihatan agar dapat meneruskan karier seni pada masa depan.

“Terima kasih datang. (Saya) nak nyanyi semula. Insya-Allah kalau sihat. Bereh boh,” katanya di sini, hari ini.

Yang menemani Saleem di wad, isteri penyanyi itu, Julia Bachok, 50.

Saleem dirawat di PPUKM sejak lapan hari lalu kerana demam panas dan ketumbuhan dikesan pada bahagian perutnya.

Sementara itu, Ahmad Razif menyifatkan Saleem sebagai seorang yang kuat semangat dan berharap agar anak kelahiran Terengganu tersebut sihat se­perti sedia kala.

“Saya hanya tahu dia sakit ketika ingin menjemputnya membuat liputan jamuan hari raya. Dia idola rakyat Terengganu, mempunyai bakat yang hebat sehingga mengharumkan nama Terengganu.

“Sama-sama kita berdoa agar dia sihat dan dapat menyanyi semula. Dia perlukan sokongan. Semoga Saleem dan keluarga kuat hadapi ujian ini,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri akan melihat bentuk bantuan yang boleh disalurkan terma­suk mengadakan perbincangan dengan Persatuan Anak-anak Terengganu dan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).