Pengerusi Eksekutif Yayasan Perdana Ummah, Datuk Rizal Mansor berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu inisiatif itu diteruskan bagi memberi peluang lebih banyak lagi karyawan veteran melaksanakan ibadah umrah ke Tanah Suci.

"Dijangka sekurang-kurangnya 15 orang lagi pengiat seni akan terpilih untuk menyertai program ini khususnya terdiri di dalam kalangan kurang kemampuan.

"Alhamdulillah, program ini telah mendapatkan sokongan penuh dan maklum balas positif pelbagai pihak yang mahu ia diteruskan pada masa hadapan," katanya ketika ditemui selepas menyambut kepulangan 23 pengiat seni dari Tanah Suci di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Antara penggiat seni yang terpilih menyertai program tersebut ialah Ibnor Riza, Sulaiman Yassin, Abdul Hamid Ab. Rahman atau Hamid Gurkha, Zaiton Sameon, Zaharah Mohd. Yacob atau Sahara Yaacob dan Zaleha Hamid.

Menurut Rizal, beliau bersyukur kerana perjalanan pergi dan balik kesemua pengiat seni itu berjalan lancar dan tidak berhadapan sebarang kesulitan.

Katanya, para karyawan berkenaan diharapkan dapat mengambil iktibar sepanjang mengerjakan ibadah di Tanah Suci.

Program tersebut yang bermula sejak 26 Januari lalu turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Penasihat Perdana Menteri dan Yayasan Mustika Kasih.-UTUSAN ONLINE