Konsert Ruth Sahanaya - Live At Dewan Filharmonik Petronas yang berlangsung semalam berjaya menghibur kira-kira 900 penonton dengan rangkaian 16 buah lagu kesukaan ramai termasuk Keliru, Kaulah Segalanya, Astaga, Merenda Kasih, Memori, Selamanya dan Ingin Kumiliki.

Kebanyakan lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Ruth telah disusun semula muziknya oleh pengarah muzik, Edwin Saladin Rochadi. Persembahannya menjadi lebih menarik kerana turut diiringi oleh pemuzik Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) yang diketuai oleh Ahmad Muriz Che Rose selaku pengarah muzik.

Penyanyi yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang seni itu secara jujur mengaku bahawa perasaan gugup tetap ada sebelum memulakan persembahan.

Kata ibu kepada Nadine Emmanuella Waworuntu dan Amabel Odellia Waworuntu itu, untuk persembahan di DFP, dia melakukan persiapan rapi kerana tahu DFP adalah satu nama besar dan penampilannya perlu setanding.

Apa pun kata Ruth, dia bersyukur kerana pengurus Jeffry Waworuntu yang juga suaminya itu bijak memilih lagu-lagu yang sesuai untuk dipersembahkan kepada penonton Malaysia.

Sebagai hadiah kepada penonton tempatan, Ruth mendendangkan lagu Sinaran nyanyian Datuk Sheila Majid yang juga rakannya sebagai penutup persembahan yang bermula pada pukul 8.30 malam dan berakhir pada pukul 11 malam. - UTUSAN ONLINE