Siti Khadijah, 20, berjaya menewaskan 11 peserta akhir lain dengan pakej lengkap yang dimilikinya selain membawa watak lakonan monolog yang meyakinkan para juri bertajuk Girlfriend Aku Dari Neraka, sebuah karya yang dicipta olehnya sendiri.

Dia membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, pakej pelancongan ke London, United Kingdom serta tawaran kontrak lakonan bersama A. Aida Production selama dua tahun.

Finalis yang berasal dari Kuala Lumpur dan kini menetap di Bandar Baru Bangi, Selangor itu juga merancang untuk meneruskan karya seni sebagai pelakon serta melanjutkan pengajian sehingga peringkat ijazah pertama pada masa sama.

“Objektif saya dalam pertandingan ini, menang atau kalah saya akan tetap teruskan pengajian sehingga ke peringkat ijazah pertama.

“Saya boleh imbangkan kerjaya sebagai pelakon dan juga sebagai mahasiswa. Insya-Allah, kalau saya kuat. Kalau rezeki tidak putus, saya akan teruskan lakonan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Tempat kedua pertandingan dimenangi oleh Nur Ainaa Azhari, 18, penuntut universiti awam yang membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 serta pakej pelancongan ke Australia manakala model sambilan, Azlin Abdul Aziz, 19, berada di tempat ketiga dengan menerima wang tunai RM3,000 serta pakej pelancongan ke Thailand.

Kedua-dua mereka turut me­nerima kontrak tawaran berlakon bersama A. Aida Production.

Seramai 12 peserta berjaya ke peringkat akhir Gadis Panca NR setelah hampir 3,000 peserta dari seluruh negara menghantar permohonan sejak awal Januari tahun lalu.

Juri-juri jemputan dalam pertan­dingan akhir itu ialah pelakon dan penerbit, Datuk A. Aida; Jasmin Hamid, Rita Rudaini dan Hefny Saad.

Yang hadir sama ialah Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Ke­tua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Othman Mohamad; Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Hassan Mohd. Noor, Pengarang Mingguan Malaysia, Badrul Azhar Abdul Rahman serta Pe­ngurus Jabatan Pengarang, Ainol Amriz Ismail.

Wakil dari penaja utama yang hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif NR, Syed Hidzir Syed Agil Barakbah.

Pertandingan akhir Gadis Panca NR Mingguan Malaysia itu dihoskan oleh Fahrin Ahmad.

Antara artis yang turut hadir bagi menjayakan program ber­kenaan ialah Hael Husaini yang membawakan lagu Jampi, Syafiq Farhain (Sa­yang Maafkan Aku) Andi Bernadee (Perfect) serta Nabila Razali dengan lagu hits Pematah Hati.