Pemain watak Bendahara Melaka, Tun Mutahir yang difitnah oleh Bendahara Mendaliar dan Laksamana sehingga membuatkan seluruh ahli keluarga Bendahara termasuk tunangan Tun Fatimah, dititahkan hukuman bunuh oleh Sultan Melaka kecuali Tun Fatimah, berjaya membuatkan penonton yang hadir menyaksikan pementasan dua hari itu, bermula malam tadi dan berakhir pada malam ini menitiskan air mata.

Usaha daripada Kerajaan Negeri Melaka dan Istana Budaya membawa wakil-wakil media massa dari Kuala Lumpur untuk menginap semalaman di Hotel Swiss Garden di sini membuktikan bahawa pementasan teater Tun Fatimah arahan Lokman Ghani, juga sebagai sebuah pementasan yang harus diberikan pujian.

Kehadiran Gabenor Melaka, Tun Dr. Mohd. Khalil Yaakob yang menyambut ulang tahun kelahiran beliau yang ke-79 untuk sama-sama menyaksikan pementasan ini malam tadi, turut memberi pujian di atas kejayaan seluruh produksi yang menjayakan teater tersebut.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, Pengarah Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI) Melaka, Datuk Ab. Rahman Ismail dan Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.

Pementasan membuka tirai pukuk 9 malam dengan pengenalan Tun Fatimah yang disajikan dalam bentuk tarian oleh Briged Seni Melaka.

Bermula dari situ, kemunculan watak demi watak (Nakhoda Feringhi yang mempunyai muslihat untuk menawan Melaka) di hadapan penonton termasuk dua watak bodoh-bodoh alang, Kitul (lakonan pelakon komedi Ebby Yus) dan Komeng memecah suasana dalam Panggung Bangsawan Melaka dengan deraian gelak ketawa menerusi aksi dan dialog bersahaja mereka.

Walaupun ruang pentas Panggung Bangsawan Melaka agak membataskan pergerakan silat Tun Fatimah namun penggunaan teknik LED sebagai visual belakang tabir membantu penonton melekat di bangku dalam bekas panggung wayang Cathay itu.

Penghayatan watak sebagai Sultan Melaka oleh Remy Ishak layak dipuji walaupun aktor ini masih boleh membaiki lakonkannya, misalnya perasaan dendam amarah yang terbuku dalam dada gara-gara mempercayai fitnah yakni Bendahara mahu merampas kuasa dan menduduki takhta Sultan seharusnya terpancar dari dalam matanya.

Begitu juga dengan lakonan Ashraf Muslim yang memberontak membangkang titah Sultan yang tidak adil.

Sembah derhaka tidak penuh membara kerana lakonan ekspresi dalaman Ashraf agak tidak sampai untuk sama-sama dirasai dan dikongsi oleh penonton.

Biarpun perpisahan dengan isteri tercintanya, Tun Fatimah amat tragis tetapi lakonan yang diberikan sedikit tidak sampai untuk membuatkan Panggung Bangsawan banjir air mata.

Cantik, bijak dan tangkas. Itulah tiga perkara yang ditekankan oleh sang pengarah teater Tun Fatimah Serikandi Empayar Melaka mengapa Maya Karin menjadi pilihan sekalipun menyedari keterbatasan aktres kacukan Melayu-Jerman ini untuk memahami bahasa Melayu klasik.

Bagaimanapun, usaha Maya untuk melakonkan watak serikandi ini memang dihargai dan dipuji.

Dalam tempoh tiga minggu Maya diberi tunjuk ajar langkah silat dan dengan keterbatasan waktu dan ruang, Tun Fatimah bersilat tangkas.

Ramai yang mengakui tidak puas menonton langkah pendekar wanita malam ini Maya akan beraksi menutup tirai psmentasan teater Bangsawan Tun Fatimah tahun ini. - UTUSAN ONLINE