Menurut Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil, walaupun beliau dilantik sebagai ikon sekolah tersebut setahun lalu, namun beliau sudah memulakan program tersebut sejak tiga tahun yang lalu.

“Sebelum menjadi dilantik secara rasmi lagi, saya sudah mula melakukan kerja-kerja sebegini untuk memberi kemeriahan raya kepada anak-anak yang susah.

“Kali pertama bawa mereka ke pusat beli-belah, mereka langsung tidak tahu apa itu ‘shopping raya’. Semuanya nampak kekok.

“Malah, mereka tidak ambil pun baju Melayu kerana banyak baju-T yang boleh dipakai setiap hari. Itu lebih penting,” kata Pak Nil.

Pagi tadi beliau membawa 150 kanak-kanak SBJK membeli kelengkapan raya di pasar raya Tesco Extra, Mutiara Damansara, Selangor.

Selain Pak Nil, Pengarah Perkhidmatan Koporat Tesco, Azliza Baizura Azmel turut hadir menemani kanak-kanak tersebut.

Bercerita mengenai program pagi ini, jelas Pak Nil, seperti tahun sebelum ini, gelagat mereka membeli-belah pasti membuatnya terharu.

“Saya tegur seorang anak ini ketika dia memilih kasut. Saiz yang dia ambil agak besar berbanding dengan kakinya.

“Bila ditanya, tanpa lengah dia memberitahu, memang sengaja diambil saiz yang lebih besar supaya dia boleh guna untuk jangka masa lama,” jelasnya terharu.

Dalam pada itu, jelas Pak Nil, beliau juga sedang merancang untuk memberikan kanak-kanak ini pendidikan bahasa Inggeris untuk meningkatkan tahap keyakinan mereka.

“Saya kalau boleh nak cari pertubuhan yang boleh mengajar kanak-kanak ini menguasai bahasa Inggeris secara santai.

“Kadang-kadang saya lihat tahap keyakinan mereka menurun jika bercampur dengan sekolah lain kerana kesukaran berbahasa Inggeris,” jelasnya.

Pak Nil turut merancang membawa kanak-kanak ini bercuti ke luar negara untuk meluaskan lagi pengetahuan mereka. - UTUSAN ONLINE