NEERA AZIZI sudah biasa dengan komen negatif daripada netizen. - S2/ NOORADZRENE MOHAMMED NOOR

Malah, apa yang diperkatakan mengenai kualiti bakat nyanyian Neera Azizi menjadikan dia lebih bersemangat untuk mengharungi onak dan duri industri yang penuh pancaroba ini.

Walaupun dia tidak putus-putus menerima tawaran berlakon, Neera tidak pernah serik untuk mengembangkan kerjaya dalam bidang nyanyian selepas menerima kritikan di media sosial baru-baru ini.

Jujurnya, Neera berkata, apa yang berlaku tidak mematahkan semangatnya, malah dia sudah biasa dengan komen negatif daripada netizen.

“Saya cuma ikut haluan sahaja dan yakin, semua akan baik. Saya reda dan faham dunia media sosial memang begitu,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Baru-baru ini video Neera menyanyikan lagu single pertamanya Rasa Hati menerusi sebuah rancangan siaran langsung di televisyen tular dan ramai netizen mengecam kerana nyanyiannya sumbang.

Menurut Neera, Rasa Hati merupakan single pertamanya berkonsepkan Pop Jazz. Lagu itu dicipta oleh komposer B-Heart, manakala liriknya ditulis bersama oleh B-Heart dan Neera sendiri.

Katanya, setelah empat tahun bergelar pelakon, dia mendapat sokongan ahli keluarga terutama kakaknya, Zeera Azizi yang merupakan seorang penyanyi semasa melancarkan lagu single pertamanya itu.

Tambah Neera yang menghadiri kelas vokal sebelum bergelar penyanyi, sejak memutuskan untuk terjun ke bidang nyanyian, dia sudah bersedia dengan segala kemungkinan terutama kritikan daripada peminat.

Katanya, tidak salah untuk mencuba bidang nyanyian walaupun lakonan menjadi fokus utama kerjaya memandangkan usianya yang masih muda dan masih jauh perjalanan dalam industri seni.

Dalam pada itu, pelakon drama Miss Kapten Cikgu Waiz itu bakal muncul dalam sebuah lagi drama menerusi slot Samarinda di TV3 iaitu Melankolia.

Neera yang juga pelakon drama Sayangku Kapten Mukhriz, berkata, dia kini sedang menjalani penggambaran drama Andainya Takdir 2.