Menurut Abu Bakar yang bertindak sebagai penerbit single Raihan, mereka perlu masa untuk memastikan single terbaharu daripada mereka kelak mempunyai elemen Raihan di dalamnya.

Kata Abu Bakar, jika diimbas kembali album pertama Raihan, Puji-Pujian yang menampilkan melodi ‘bodoh-bodoh’ tetapi penciptaan melodi yang sebegitu berjaya melekat di hati pendengar dan seterusnya, peminat Raihan.

“Kita tahu bahawa lagu-lagu Raihan mengandungi lirik yang mengajar anak-anak serta orang dewasa untuk mendekatkan diri dengan Tuhan kerana menerusi lagu bersifat ketuhanan atau religi, sebenarnya ia bukan sahaja mengajak tetapi juga mengajar pendengar.

“Lagu-lagu Raihan adalah cara kami berdakwah. Biarlah Raihan hari ini berdiri dengan tiga anggota atau ahli sahaja namun nama Raihan itu, alhamdulillah, kuat untuk menggamit peminat lama dan mencipta peminat baharu untuk terus mendokong perjuangan lagu-lagu nasyid Raihan,” kata Abu Bakar kepada wartawan Utusan Online ketika ditemui di Melaka, baru-baru ini.

Raihan merupakan antara artis tanah air yang akan menjayakan program Malam Inspirasi Cinta Ilmu sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-15 Melaka Bandaraya Bersejarah, anjuran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dengan kerjasama DMACRIZ Communication.

Raihan bersama-sama dengan Aris Ariwatan, Nabila Razali, Adam Korie dan Angah Raja Lawak akan hadir mengadakan persembahan pada 14 April, kemuncak Malam Inspirasi Cinta Ilmu bertempat di Dataran Majlis Bandaraya Melaka.

Kata Abu Bakar lagi, lagu-lagu Raihan perlu ada identiti dan roh dan kedua-dua itu sukar untuk diperoleh.

“Mencari bahan atau material lagu bukannya sudah. Itu mudah tetapi yang susahnya ialah untuk mengekalkan identiti dan roh di dalam lagu-lagu Raihan.

“Maka itulah, dalam menampilkan single terbaharu Raihan kelak, ia adalah idea bersama rakan-rakan dan ia bukanlah ciptaan kita sebaliknya ia datang daripada Allah,” jelasnya.

Apabila menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai produser single terbaharu Raihan, Abu Bakar memberitahu, beliau lakukannya dengan niat kerana Allah kerana syarat-syarat yang perlu ada di dalam melodi Raihan tidak sama seperti penyanyi biasa.

“Lagu itu boleh jadi sembarangan tetapi lagu paling kuat mesti terus melekat dalam ingatan pendengar. Temponya perlu menangkap atau ‘catchy’ kerana lagu ‘catchy’ lagu itu, ia lagi bagus,” kata Abu Bakar secara terus terang.

Mengulas lebih lanjut tentang perbezaan dengan artis biasa yang lain sejajar dengan enam anugerah yang digenggam menerusi Anugerah Industri Muzik (AIM), Abu Bakar berkata, sebagai kumpulan suara harmoni, identiti irama paluan seperti gendang serta alat muzik gambus, gitar, percussion tradisional dan moden serta rebana dan kompang yang menjadi identiti Raihan perlu dikekalkan.

Oleh itu, kata Abu Bakar, biarlah orang lain mahu mencipta sesuatu yang baharu dalam muzik mereka, Raihan tetap dengan identiti yang dikekalkan sehingga ke hari ini.

Sementara itu, Che Amran berpendapat, dalam era hari ini, sama ada Raihan melahirkan album debut atau single bukanlah satu persoalan sebaliknya, yang penting adalah hasil karya yang dihasilkan.

“Kita perlu ikut trend semasa di mana rata-rata, artis tampil dengan single. Itu adalah kerja pintar atau smart work kerana dengan single, boleh diuar-uarkan di platform media sosial.

“Sebelum ini, zaman permulaan Raihan dalam industri hiburan tanah air, kena ada album yang mengandungi 10 hingga 12 buah lagu tetapi zaman sekarang, hanya dengan ada satu single, sudah boleh promosi,” ujar Che Amran.

Katanya lagi, kekuatan lagu-lagu Raihan banyak mempengaruhi pendengar dan peminat bukan sahaja dalam negara tetapi juga di luar negara dan itulah formula yang perlu ada dalam single terbaharu Raihan yang digalas dibahu Abu Bakar. - UTUSAN ONLINE