Tidak dinafikan juga, apabila jemaah yang mengerjakan umrah berada di tanah suci Mekah, timbul persoalan dan perasaan was-was yang perlu dirujuk kepada ketua rombongan yang dipanggil sebagai mutawwif.

Tanggungjawab yang digalas oleh seorang mutawwif itu sebenarnya bukan mudah kerana dia perlu mempunyai pelbagai ciri-ciri termasuk ciri kepimpinan dan mudah didekati oleh jemaah.

Akan tetapi ciri utama yang perlu ada dalam diri seseorang mutawwif itu ialah ilmu yang mendalam tentang agama Islam.

Pencarian mutawwif terbaik bukanlah mudah untuk dilakukan dan menerusi program realiti televisyen, Manhajj Mutawwif, sekurang-kurangnya pencarian mutawwif terbaik dapat dilakukan.

MUTAWWIF

SIAPAKAH di antara mereka ini yang akan menggondol gelaran Mutawwif Terbaik? - UTUSAN ONLINE/HASNURUL MOHAMED

Manhajj Mutawwif sudah masuk musim kedua dan ia bukanlah sebuah program realiti televisyen yang berkonsepkan hiburan yang melalaikan sebaliknya program sebagus ini dizahirkan untuk mengenal pasti, siapakah anak-anak muda di luar sana yang mampu menjadi seorang mutawwif yang dapat mengetuai jemaah.

Bertempat di Panggung Percubaan Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, program Pencarian Mutawwif Terbaik Musim Kedua tajaan Manhajj Brothers Sdn. Bhd., baru-baru ini telah mengadakan rakaman membabitkan lapan orang peserta.

Antara peserta yang mengambil bahagian termasuk peserta yang mewakili negara jiran seperti Singapura, Indonesia serta dari negara Brunei Darussalam dan rakaman ini akan disiarkan pada 16 Mac ini di saluran Astro Oasis (106) atau HD 122, pukul 9 malam. Penonton juga boleh menonton program ini menerusi aplikasi manhajj.

Ketua Mutawwif, Ustaz Noor Effendi Hamid ketika ditemu usai rakaman berkata, beliau dapat melihat persembahan para peserta dari minggu ke minggu menunjukkan peningkatan dan sangat memuaskan.

Ustaz Noor Effendi Hamid
Ustaz Noor Effendi Hamid 

"Kita perlu faham bahawa orang yang pergi ke Mekah untuk menunaikan umrah dan haji berkorban wang ringgit, masa dan cuti. Jadi, kita tidak mahu mereka ini membazirkan duit dan masa kerana tidak pandai beberapa perkara sepanjang mengerjakan umrah atau haji.

"Oleh yang demikian, menerusi program pencarian mutawwif terbaik ini, kita menyediakan seorang ustaz atau mutawwif yang berkualiti," katanya.

Bagi program musim kedua kali ini, kata Ustaz Effendi, perlu ada kelainan dan berkonsepkan seni dalam dakwah.

Pendekatan ini, kata Ustaz Effendi, adalah untuk penambah baikan agar penonton yang mengikuti program Pencarian Mutawwif Terbaik Musim Kedua tidak merasa bosan menonton manakala para peserta pula menyantuni permasalahan tugasan dalam bentuk lakonan di bawah bimbingan dan seliaan aktor Que Haidar menjadi lebih menarik.

"Walau pun para peserta berlakon dengan bantuan pelakon-pelakon tanah air, dipastikan lakonan para peserta tidak berlebih-lebihan. Mesej dalam persembahan seni lakon peserta lebih cenderung kepada elemen dakwah dan peringatan kepada bakal-bakal mutawwif apabila mereka memimpin jemaah kelak," jelasnya.

PESERTA MUTAWWIF

 

Beliau juga menekankan, paparan program Pencarian Mutawwif Terbaik Musim Kedua ini dapat mengikis persepsi orang ramai yang takut untuk ke Mekah bagi menunaikan umrah dan haji.

"Walau pun golongan seperti ini hanya segelintir tetapi kita tahu hakikatnya, ada yang takut untuk pergi ke Mekah. Sebenarnya tidak perlu ada perasaan takut kerana di situlah tempat untuk kita bertaubat pada Allah.

"Dengan adanya mutawwif yang berkaliber dan berwibawa, dia akan memimpin jemaah dengan baik," ujarnya.

LAKONAN

PEMARKAHAN di pentas lakonan diperincikan oleh juri menerusi kefahaman peserta untuk menyelesaikan sesuatu masalah jemaah yang mengerjakan umrah berlandaskan hadis dan Al-Quran. - UTUSAN ONLINE/HASNURUL MOHAMED

Sementara itu, Ustaz Abd. Halim Ihsan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Manhajj Brothers Sdn. Bhd., berkata, program Pencarian Mutawwif Terbaik ini perlu diketengahkan kepada khalayak penonton televisyen seperti mana program-program berbentuk dakwah yang pernah disiarkan sebelum ini.

Ustaz Abd. Halim Ihsan
Ustaz Abd. Halim Ihsan 

Beliau juga mengakui, berpuas hati dengan lanjutan program pencarian mutawwif yang mana bagi musim kedua ini, ditekankan tiga perkara kepada para peserta yang bertanding.

"Setiap minggu para peserta diberikan tema-tema yang berlainan dan hari ini, temanya ialah Kesalahan Yang Dilakukan oleh Jemaah ketika mengerjakan tawaf.

"Berbalik kepada tiga elemen yang disebutkan tadi, ia mencakupi elemen keinsafan yang berkait rapat dengan sedar, tahu dan jelas, elemen ilmu yang mana semua penjelasan yang diberikan oleh seorang mutawwif itu adalah berdasarkan fakta, hadis dan al-Quran dan elemen ketiga ialah keindahan iaitu keikhlasan seseorang mutawwif itu dengan jemaah yang terpancar menerusi turut kata dan akhlak.

"Kita tahu biasanya sebelum jemaah itu mengerjakan haji atau umrah, ada kursus dan diajar, bakal jemaah perlu bertaubat dari tanah air lagi selain daripada mendapat hidayah, bebas dari hutang piutang, memohon maaf dan bersih kerohanian. Itu asas yang semua orang tahu.

"Apabila ada seorang mutawwif itu berilmu, maka jemaah yang dipimpinnya tidak akan merasa bimbang jika memerlukan penjelasan tentang kemusykilan yang mungkin timbul.," katanya. - UTUSAN ONLINE