Konsert Doa Buat Kekasih 30th Anniversary Tour 2018 Datuk Ramli Sarip dan Datuk Khadijah Ibrahim akan menemui peminat di Pusat Konvensyen Persada Johor pada 7 September yang mendapat sokongan serta kerjasama daripada Tunku Laksmana Johor Cancer Foundation.

Pada majlis sidang akhbar yang diadakan di Istana Budaya di sini, petang ini, Ramli memberitahu, perbualan beliau bersama pasangan duetnya itu untuk mengadakan sebuah konsert bersama tercetus pada tahun lepas.

“Kita bercerita untuk mengadakan sebuah konsert Doa Buat Kekasih. Sebuah konsert legendary dan hari ini, inilah dia konsertnya,” kata Ramli.

Konsert Doa Buat Kekasih 30th Anniversary Tour 2018 ini akan menemui peminat di Istana Budaya dekat sini pada 6 Oktober ini.

Pada 17 Oktober, konsert yang diiringi barisan pemuzik Soul Journey akan menemui para peminat di Dewan Konsert Esplanade, Singapura.

Bercakap kepada pemberita dalam majlis sidang akhbar, Khadijah atau lebih mesra dengan panggilan Datuk Kat pula berkata, menerusi konsert yang bakal diadakan kelak, beliau mengharapkan sekurang-kurangnya dapat menaikkan industri hiburan tanah air.

“Apabila kami menyajikan sebuah persembahan yang bagus di pentas berprestij seperti di Istana Budaya, saya berharap anak-anak muda juga dapat mengadakan persembahan di Istana Budaya dengan pemuzik antarabangsa,” katanya.

Datuk Kat menambah, apabila adanya persembahan atau konsert, dapatlah menaikkan nama negara di persada seni dan hiburan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Istana Budaya yang hadir sama pada sidang akhbar Doa Buat Kekasih 30th Anniversary Tour 2018 Datuk Ramli Sarip dan Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, sidang akhbar pada petang ini merupakan pembuka gelanggang Istana Budaya yang ditutup selama lapan bulan bagi menyiapkan kerja-kerja pengubahsuaian.

“Tiga belas tahun berlalu ketika Datuk Ramli Sarip mengadakan konsert solo pertamanya di Istana Budaya.

“Saya pasti para peminat kedua-dua penyanyi lagenda ini yang selama ini ternanti-nantikan persembahan mereka, tidak sabar untuk menyaksikan konsert mereka,” katanya.

Selain tiga lokasi yang telah disebutkan, siri persembahan jelajaraya lain-lain kata Pengurus syarikat produksi Rasa Karya Sdn. Bhd., Juriah Banding, berupa showcase.

“Konsert hanya di Istana Budaya dan di Singapura manakala di Kuantan, Kuala Terengganu, Melaka, Alor Setar, Kuching dan Kota Kinabalu persembahan berupa showcase,” jelasnya.

Tiket-tiket Doa Buat Kekasih 30th Anniversary Tour 2018 di Istana Budaya mula dijual pada harga RM400, RM350, RM200, RM150 dan RM100 boleh dibeli atau ditempah dengan melayari www.ilassotickets.com. - UTUSAN ONLINE