HARITH ISKANDER bersama piala hadiah yang diterimanya sebagai juara Laugh Factory Funniest Person in The World ketika tiba di KLIA, Sepang, Selangor, semalam. UTUSAN/ABDUL NAZIR MOHAMED

Harith yang kini digelar indivi­du paling lucu di dunia me­ngakui meskipun para pesaing dalam pertandingan akhir pada 10 Disember lalu itu sengit namun keistimewaan kisah rakyat berbilang kaum di negara ini telah memberi bonus kepada kejayaannya.

Menurut Harith, 50, perkara itu diakui oleh pengasas LFF-PITW, Jamie Masada yang melihat nilai-nilai murni yang ada dalam komedi beliau dan sentiasa mengangkat nama Malaysia adalah satu perkara yang unik.

“Sejak 26 tahun penglibatan dalam ‘komediri’, saya sentiasa meletakkan misi untuk menjadikan lawak saya sebagai platform menyatukan semua peringkat masyarakat dan saya yakin ia boleh dilakukan melalui lawak jenaka.

“Jika kita berjaya menggembirakan orang ramai dalam satu-satu masa ia sebenarnya telah me­nyatukan hati-hati kita, kerana itu saya terus berpegang pada prinsip itu,” katanya ketika ditemui sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Finland di sini hari ini.

Harith tidak menyentuh isu sensitif seperti agama, politik dan seks dalam persembahannya, sebaliknya antara perkara yang menjadi bahan lawaknya adalah mengenai perbezaan cuaca antara Malaysia de­ngan Finland yang dikaitkan dengan badannya yang kelihatan gempal.

“Malaysia adalah negara hutan tropika dengan suhu 36 darjah Celsius dan saya terbang terus dari Malaysia ke Finland dengan suhu di sini -7 darjah Celsius. Ba­yangkan saya ini, jadi saya tidak gemuk sebenarnya saya hanya memakai baju tebal yang saya pinjam,’’ petikan celoteh Harith pada pertan­dingan akhir itu seperti yang dapat ditonton di YouTube.

Harith yang ditemani isteri, Dr. Jezamine Lim disambut meriah oleh peminat dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad serta kakitangan Tourism Malaysia yang bersorak gembira sebaik sahaja pelawak terkenal itu muncul di balai ketibaan KLIA pada pukul 10 pagi.

Beliau yang sentiasa membawa perwatakan bersahaja berkata, strategi utamanya dalam pertan­dingan tersebut adalah menjadi diri sendiri, membawa persembahan yang mudah difahami dan berniat untuk menghiburkan orang ramai.

Selebriti itu juga menyatakan hasratnya untuk terus membantu pelawak-pelawak tanah air bagi menyertai pertandingan di pering­kat antarabangsa se­perti LFF-PITW agar dapat mengharumkan sekali lagi nama Malaysia di persada antarabangsa.

Ditanya tentang cabaran memasuki peringkat akhir pertandi­ngan itu, sambil berseloroh Harith berkata: “Apabila kita sudah berada di peringkat akhir cabarannya hendaklah sentiasa tampil macho walaupun pada ketika itu baju dah berlapis-lapis sebab sejuk yang hakikatnya tak biasa sebab kau rakyat Malaysia tetapi kau nak nampak macho juga di luar negara.”

Mengenai hadiah kemenangan­nya bernilai AS$100,000 (RM442,600), Harith berkata, beliau tidak akan menerimanya sekali gus sebaliknya, penganjur pertandingan telah menetapkan bayaran dibuat sepanjang tempoh siri jelajah di 10 lokasi berbeza di Amerika Syarikat.

“Saya bersyukur dengan cara itu saya dapat memperkenalkan lawak jenaka Malaysia di luar negara dan di samping itu dapat membantu mempromosi negara.

“Tetapi sebelum itu, saya akan melakukan kenduri doa selamat untuk peminat dan semua penyokong yang membantu mengundi saya sehingga mendapat kejayaan seperti hari ini,” katanya.