Di penghujung sidang akhbar yang disiarkan secara langsung di Facebook Utusan Online, turut dihadiri peguam peribadi Joy, Muhammad Nur Hafiz Roslan, peguam syariah, Aznor Dollah, ibunya, Sofia Abbas dan kakaknya, Dyana Sofia sedikit terganggu apabila penghantar surat dari firma guaman yang dilantik oleh Hafiz Hamidun masuk ke pejabat Joy bagi menyerahkan dokumen tersebut.

Walaupun tujuan asal Joy mengadakan sidang akhbar petang tadi adalah untuk memaklumkan tentang statusnya yang disahkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Selasa lalu, bertukar menjadi sedikit kecoh apabila wakil-wakil media massa yang hadir pada majlis tersebut bertanya apakah dokumen yang diserahkan kepada Joy.

“Joy perlu membaca terlebih dahulu lampiran surat yang disertakan dengan dokumen sebelum menurunkan tanda tangan pengesahan penerimaan,” kata Muhammad Nur Hafiz.

Bagaimanapun, ramai yang dapat meneka apakah dokumen yang ingin diserah tangan kepada Joy kerana hari ini, Hafiz Hamidun telah memfailkan permohonan cerai ke atas Joy di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

Terdahulu, dalam sidang akhbar, Joy mengeluarkan kenyataan bahawa beliau bersyukur kerana Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengesahkan perceraiannya dengan bekas suami terdahulu, Mohd. Rayos Abdul Rahim sejak 12 Januari 2015 dan sewaktu beliau menikah dengan Hafiz Hamidun, status beliau bukanlah isteri orang.

Joy yang beberapa kali sebak dan menitiskan air mata pada sidang akhbar hari ini berkata, segala fitnah yang dilemparkan oleh netizen terhadap dirinya dan dicemuh dengan pelbagai cemuhan, bolehlah dihentikan kerana beliau mahu perkara ini selesai dengan segera dan tidak lagi berlarutan.

Joy juga berkata, beliau menyambut baik permohonan cerai yang dikemukakan oleh Hafiz Hamidun kerana merasakan lelaki yang dinikahinya itu bukanlah seorang suami yang bertanggungjawab dan tidak boleh memberi nafkah batin. 

Klik http://bit.ly/2hDylny untuk pautan sidang akhbar Joy Revfa. - UTUSAN ONLINE