Mereka yang terdiri daripada insan seni dan atlet sukan veteran disambut ahli keluarga masing-masing selain wakil daripada pihak penganjur, Yayasan Perpaduan Ummah (YPU).

Selama berada di Madinah dan Mekah bagi menunaikan umrah, kesemua 10 ahli rombongan berada dalam keadaan sihat meskipun ada antaranya yang mempunyai pelbagai masalah kesihatan.

Sepanjang tempoh di Tanah Suci, mereka berjaya menunaikan umrah pertama walaupun ada yang terpaksa menggunakan kerusi roda.

Penyanyi Amir Ukays yang turut serta dalam romhongan tersebut melahirkan rasa terharu dan gembiranya kerana berjaya meneyempurnakan tiga umrah termasuk bagi kedua-dua orang tuanya.

Begitu juga dengan pelakon Rashidah Jaafar yang mengambil kesempatan melakukan ibadah sebanyak-banyaknya sepanjang 10 hari di sana.

Bagi pasangan pelakon veteran Zulkifli Abdul Ghani dan isterinya Masitah Md. Isa, pengalaman kali pertama ke Tanah Suci menjadi sangat berharga kerana dapat sama-sama beribadah dalam keadaan sempurna.

Kesemua mereka terpilih mengerjakan umrah yang dianjurkan oleh Pejabat Penasihat Perdana Menteri dengan kerjasama YPU dan Yayasan Mustika Kasih.

Turut nenyertai rombongan ini ialah pelakon Hisham Ahmad Tajuddin, Sapri Ibrahim dan tiga atlet kebangsaan iaitu bekas pemain bola sepak negara, Syed Ahmad Abu Bakar, bintang sukan angkat berat, Rameli Manap dan pesilat kebangsaan, Ramliee Ahmad.

Januari lalu seramai 30 jemaah yang kesemuanya terdiri daripada penggiat seni adalah kumplan pertama yang diberi peluang tersebut.

Program Umrah Penggiat Seni ini adalah cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika meraikan insan seni pada majlis berbuka puasa di kediamaan beliau di Seri Perdana, Putrajaya tahun lalu yang direalisasikan oleh YPU.

Berikut ialah klip video empat artis yang berkongsi pengalaman mereka di Tanah Suci. - UTUSAN ONLINE