Menurut Uchop, menerusi Special Project Bisa Pertama, peluang keemasan yang diberi oleh komposer dan penulis lirik lagu itu, Bayeng Black seolah-olah membuka satu lagi pintu rezeki buat dirinya dan Irwan dalam meniti perjalanan sebagai anak seni.

"Sebenarnya, saya tidak menyangka bahawa rezeki untuk menyanyikan lagu Bisa Pertama ini adalah milik saya juga. Segala-galanya bermula apabila Irwan, Mentor Otai, anak didik Tam Spider, dipanggil oleh komposer untuk membuat cover dalam bentuk smule.

"Sebagai rakan artis, memang saya sokong apa yang dilakukan oleh Irwan dan apabila saya secara suka-suka, masuk 'mengisi' tempat kosong dalam smule Bisa Pertama yang dilakukan oleh Irwan, kami post kat media sosial untuk menarik peminat Bisa Pertama.

"Dari situ, komposer Bisa Pertama, Bayeng Black atau kami panggil Abang Black mendapat cetusan idea untuk menggandingkan kami berdua untuk Special Project beliau di Baling, Kedah," kata Uchop yang juga merupakan juara pertandingan program realiti televisyen, Vokal Bukan Sekadar Rupa (VBSR) musim kedua.

Uchop berkata, walaupun pada mulanya beliau agak terpinga-pinga apabila dipanggil oleh Abang Black untuk menyanyi secara duet dengan Irwan dan menyangka, perjumpaan itu adalah untuk mempromosikan lagu Bisa Pertama, namun sebenarnya kolaborasi duet di antara Uchop dan Irwan adalah untuk menjayakan Special Project Bisa Pertama.

Sementara itu, Irwan mengakui sudah lama mengenali Abang Black dan menyokong usaha komposer itu untuk mendekatkan lagu Bisa Pertama kepada peminat.

"Kolaborasi dengan Uchop untuk lagu Bisa Pertama yang diilhamkan oleh Abang Black amatlah istimewa kerana melodi Bisa Pertama yang mantap, dimantapkan lagi apabila diberi sentuhan Hadi Hassan.

"Apabila saya mendengar melodi Bisa Pertama, range yang dibuat oleh Abang Hadi Hassan ini amat besar dan kalau saya menyanyikannya secara duet dengan Uchop, memang 'ngam'," katanya.

Kata Irwan lagi, penyampaian Bisa Pertama versi beliau dan Uchop seolah-olah penceritaan dua jiwa yang sahut menyahut.

"Kami yakin, Bisa Pertama versi Uchop dan Irwan akan menyajikan kelainan dan dapat diterima dan menepati kehendak Abang Black yang bukan sahaja komposer dan penulis lirik mahakarya ini tetapi juga individu yang menampung kos rakaman dalam studio," ujarnya.

Kata Irwan lagi, jika dahulu mungkin lagu Bisa Pertama bukan rezekinya untuk masuk ke studio rakaman, hari ini rezeki itu milik beliau dan Uchop untuk diperdengarkan kepada para peminat Bisa Pertama. - UTUSAN ONLINE