VIDA sedia bersemuka dengan Aishah bagi menyelesaikan kemelut antara mereka.

Bahkan, Dr. Vida juga sedia bersemuka dengan juara Gegar Vaganza musim keempat (GV4) itu bagi menyelesaikan segala kemelut yang tercetus.

Dalam masa sama, personaliti kontroversi itu juga meminta Aishah untuk mengembalikan semula barangan berkenaan kepadanya untuk digantikan dengan ganjaran lain.

“Minta pada Aishah pulangkan balik rantai itu kalau ia menjadi satu benda yang menjadi masalah kepada Malaysia sebab ramai yang dapat dosa. Pulangkan. Habis cerita.

“Buruk siku ke? Kalau saya minta balik? Rasanya tak, kalau saya minta balik dengan tujuan untuk meredakan keadaan. Bagilah balik, biar saya pakai rantai itu. Kalau itu yang menjadi masalah dan menjadi sumber dosa kepada warganet, saya akan ganti dengan Lavida Coin yang ada nilai sangat luar biasa,” kata Dr. Vida dalam satu pertemuan eksklusif dengan Utusan Online di kediamannya di Ipoh, Perak semalam.

Dalam laman sosial Instagram semalam, penyanyi Aishah, 53, mendedahkan hadiah barangan kemas yang bernilai RM80,000 tajaan Dr. Vida langsung tidak mempunyai nilai.

Selain mempertikaikan nilai hadiah barangan kemas itu, Aishah juga dalam status sebelum ini menyatakan rasa terkilan apabila selepas lapan bulan memenangi GV4, beliau masih belum menerima hadiah sebidang tanah lot seperti yang dijanjikan penaja.

Dr. Vida atau nama sebenarnya, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman menegaskan, barang kemas yang diberikan kepada Aishah merupakan koleksi peribadinya yang dibeli dengan harga mahal dan bukan palsu.

Menurutnya, pemberian kepada penghibur yang sangat terkenal dengan lagu Janji Manismu itu juga bukan bertujuan untuk mempromosi kedai emas miliknya tapi diberi ikhlas daripada hatinya.

“Itu adalah barang kemas saya, memang saya beli dengan harga yang mahal tapi bukan batu sintetik. Saya bagi itu adalah rantai berlian dan saya bagi seikhlas hati kerana saya rasa nak bagi jiwa pada peserta.

“Tapi tak sangka pula boleh jadi begini. Saya menerima kutukan dan cemuhan macam-macam daripada warganet, tapi saya kata Alhamdulillah. Pada warganet yang mengutuk, saya mendoakan supaya kalian akan dimurahkan rezeki dan kesenangan di dunia,” katanya lagi.

Tambah DSV, berlian bukan emas yang boleh digadai atau dijual bila terdesak memerlukan wang kerana barang kemas itu tak ada nilai.

Tegasnya, kalau Aishah kata rantai berlian itu tak ada nilai, beliau sedia terima balik dan ganti dengan Lavida Coin agar penyanyi itu boleh membeli emas di kedainya.

Sehubungan itu, Dr. Vida yang pernah merakamkan single I Am Me juga memohon Aishah agar tidak mengeruhkan keadaan kerana beliau sentiasa bersedia untuk membantu penyanyi itu menyelesaikan apa sahaja konflik yang tercetus. - UTUSAN ONLINE

.