Menjanjikan sebuah persembahan walaupun berupa gig di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, persembahan lebih satu jam oleh Damasutra mendapat sambutan daripada para peminat tegar kumpulan yang berusia 27 tahun ini.

Dari petikan gitar utama oleh Alok, bass oleh Amran, ketukan dram oleh Assu,  vokal Baggio masih mantap menyampaikan lagu-lagu popular Damasutra.

Sebelum memulakan persembahan, Konsert Mini Damasutra, Air Mata Rohingya yang dianjurkan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Insaf Malaysia, persembahan pembuka tirai dimulakan oleh Cikgu Meera yang dikenali melalui smule di YouTube.

Diikuti dengan pendatang baharu dari Filipina yang bernaung di bawah label Padi Records, Ezza dan kumpulan Real Spin.

Lagu berhantu Damasutra berjudul Jendela Waktu membuka tirai persembahan.

Lagu Asyik, Seribu Bayangan, Geliga Impian Sima Hayen, Kekasihku Yang Baru antara lagu-lagu persembahan Damasutra.

Dalam usia melepasi 40 tahun, Baggio masih mampu mengekal dan mengawal suaranya dengan baik apabila melantunkan lagu-lagu hits Damasutra yang nota lagunya bernada tinggi.

Sebagai contoh, ketika mengalunkan lagu Sufi,  Baggio memperlihatkan bahawa usia bukan faktor penghalang untuknya menyajikan satu persembahan merinding bulu roma.

Kata Baggio yang menghargai kehadiran para peminat Damasutra, segala sumbangan hasil daripada jualan tiket persembahan dan jualan t-shirt adalah untuk pelarian Rohingya. - UTUSAN ONLINE