Tampil berlenggeng tanpa memakai baju dalam klip tersebut, pemilik nama penuh Mohd. Nazri Mohd. Don itu menganggap adegan itu mempunyai maksud tertentu untuk disampaikan, bukannya sengaja mencari publisiti.

“Sebagai seorang pendatang baharu, pastinya saya perlu bersaing dengan penyanyi-penyanyi sedia ada yang jumlahnya bukan sedikit.

“Pada masa yang sama, saya anggap diri sebagai seorang ahli perniagaan kerana mengeluarkan modal sendiri untuk merealisasikan single ini.

“Jadi, saya kena pasang strategi agar pelaburan yang dibuat berbaloi dengan setiap sen yang dikeluarkan di samping melariskan produk,” jawabnya.

Terdahulu, klip video lagu nukilan komposer Asfan Shah itu mula tular beberapa hari lalu mengundang kecaman netizen gara-gara babak tidak berbaju yang diselitkannya.

Justeru, Naz yang juga anggota beruniform itu berharap netizen tidak sewenang-wenangnya melemparkan tuduhan tanpa usul periksa.

“Tonton dulu klip berkenaan, hayati bait-bait liriknya dan barulah buat penilaian,” katanya yang sebelum ini mempunyai sebuah debut bertajuk Lukamu Deritaku.

Pada 2016, Naz pernah menyertai program realiti terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) iaitu Juara Pujaan. - UTUSAN ONLINE