Lagu berjudul Api & Cinta dendangan Ayied dan Balqis diperdengarkan buat pertama kalinya pada majlis pelancaran single tersebut yang diedarkan secara bersama Luncai Emas Sdn. Bhd. dan Kayangan Event Sdn. Bhd. milik Rosli Selasih.

Mendengarkan paduan suara Ayied dan Balqis menyampaikan lagu Api & Cinta, tidak keterlaluan jika dikatakan pasangan duet ini mampu melangkah jauh dalam bidang seni suara.

Usai persembahan, dalam sesi temubual bersama wartawan, Balqis yang baharu berusia 13 tahun mempunyai visi untuk menjadi seorang penyanyi yang bukan di tahap biasa-biasa sahaja.

“Saya mengagumi Dayang Nurfaizah dan saya menyimpan hasrat untuk melakarkan nama saya, Iman Balqis dalam peta industri muzik Malaysia suatu hari nanti,” katanya.

Balqis, 13, mengakui beliau bertuah kerana berpeluang berkolaborasi dengan Ayied, 25, dan mendapat sokongan padu daripada banyak pihak termasuk kedua ibu bapanya.

Namun bagi Balqis, kesempatan yang diberikan oleh Rosli Selasih yang menghasilkan sebuah lagu duet yang boleh menjadi lagu ‘king of karaoke’ amat dihargainya.

“Saya juga menghargai usaha Sham Amir yang kita semua ketahui mempunyai rekod pencapaian yang dihormati dalam industri muzik tanah air.

“Jika Uncle Sham Amir mengambil masa tiga tahun sewaktu mula-mula beliau bertemu Datuk Siti Nurhaliza untuk memperkenalkan dan seterusnya mempopularkan Datuk Siti, saya mengharapkan saya mampu dikenali dan diterima dengan baik oleh para pemain industri hiburan dan peminat dalam tempoh kurang daripada tempoh tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, rakan duet Balqis, Ayied pula tidak dapat menyembunyikan rasa terharu dan bangga apabila lagu duet pertamanya itu mampu menangkap halwa telinga hadirin.

“Syukur Alhamdulillah jika Api & Cinta ini boleh menangkap halwa telinga penggemar muzik di Malaysia,” katanya.

Menurut Ayied, waupun usia rakan duetnya jauh lebih muda berbanding usia beliau tetapi suara Balqis lebih matang dan dewasa.

“Kematangan suara Balqis yang membuatkan saya tidak ada masalah untuk digandingkan.

“Memang sesiapa yang mendengar suara Balqis dalam Api & Cinta tidak akan menyangka usianya masih muda.

“Namun langkah kami seiring dan saya mengharapkan lagu duet kami mendapat tempat di hati peminat dan diputarkan di corong-corong radio,” katanya. - UTUSAN ONLINE