Perbincangan antara Akim dan Stacy membuahkan hasil apabila sekitar tahun lepas, didaftarkan syarikat  Rhythm & Rhyme Entertainment (R&R) yang menguruskan karier seni Akim.

Sebagai Pengarah Urusan R&R Entertainment, Stacy berkata, labelnya itu turut mengambil artis baharu yang digilap bakatnya ke arah bidang muzik.

"Macam saya mempunyai 10 tahun pengalaman sebagai penyanyi dan Akim pula mempunyai sembilan tahun pengalaman.

"Selepas berkahwin kami memandang lebih jauh ke hadapan dan sampai bilakah kami mahu duduk di bawah label orang lain.

"Jadi saya dan Akim bersetuju untuk menubuhkan R&R Entertainment dan hari ini, kami umumkan secara rasmi label R&R Entertainment sempena pelancaran single dan muzik video terbaharu Akim & The Majistret berjudul Stereotype," ujar Stacy.

Stacy berkata, artis pertama R&R Entertainment ialah Sevendays yang semakin dikenali peminat menerusi lagu mereka yang berjudul Memori.

Kata ibu kepada dua orang cahayamata ini, beliau dan suami tidak menyangka lagu Memori diterima baik oleh peminat muzik.

Namun kata Stacy, beliau amat bersyukur dengan permulaan yang baik untuk artis R&R Entertainment itu.

Kata Stacy lagi, langkah seterusnya yang masih dalam proses perancangan dan pembikinan ialah melahirkan ATM KIDS TV.

Idea bersama kumpulan AKM ialah untuk melahirkan konten animasi kanak-kanak berbahasa Melayu.

"Kita tahu yang anak-anak kecil sukakan animasi lagu lullaby atau nyanyian membuaikan untuk kanak-kanak.

"Jadi Akim mencipta lagu baharu lullaby dan ia bakal dihasilkan dalam bentuk animasi," jelas Stacy.

Kata Stacy, produk ATM KIDS TV boleh ditonton di platform media sosial YouTube dan sekiranya tiada aral melintang, konten sulung animasi dodoi akan dikeluarkan pada bulan depan.

Tambah Stacy, dengan adanya ATM KIDS TV dan R&R Entertainment ia menjadi platform untuk mereka kekal dalam industri hiburan tanah air.


Dalam masa yang sama, dari aspek karier nyanyiannya pula, Stacy memberitahu, beliau menunggu surat pelepasan tamat kontrak dengan syarikat yang berkenaan.

Ujar Stacy, kontraknya akan tamat pada Julai tahun ini dan dari situ, perjalanan karier seninya akan diteruskan dengan pengurusan di bawah R&R Entertainment.

"Sekarang kami dalam perancangan untuk melahirkan single artis kami, Erica dan single saya.

"Saya mengambilkira pandangan rakan-rakan wartawan untuk merakamkan lagu Stereotype AKM kerana lagu itu memang 'makanan' saya," katanya sambil ketawa.

Sama ada hasrat Stacy untuk merakamkan lagu Stereotype ciptaan Hang Nadim yang liriknya berunsurkan sindiran kepada golongan lelaki menjadi kenyataan, para peminat tegar Stacy Anam perlu tunggu Stereotype 2.0. - UTUSAN ONLINE