SITI AISHAH menunjukan rantai berlian yang didakwa palsu dalam
SITI AISHAH menunjukkan rantai berlian yang didakwa palsu dalam sidang akhbar di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/Roy Azis Abd . Aziz

Tindakan yang diambil pe­nyanyi ini rentetan daripada pendedahan penyanyi itu melalui laman sosial beberapa bulan lalu mengenai rantai pemberian usahawan kosmetik terkenal itu ketika menjuarai program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) tahun lepas.

Ini kerana menurut Aishah, rantai berlian yang diberikan kepadanya didapati tidak mempunyai nilai kerana diperbuat daripada kubik zirconia dan batu sintetik.

“Kami sudah menghantar satu surat tuntutan bermula hari ini. Menerusi surat tersebut terdapat dua tuntutan iaitu seutas rantai berlian asli dengan nilai setara RM80,000 seperti dihebohkan.

“Sementara tuntutan kedua pula adalah satu permohonan maaf terbuka atas representasi yang salah yang telah dibuat berkenaan rantai berlian tersebut,” jelasnya pada sidang akhbar khas yang turut dihadiri peguamnya, Mohammad Izwan Azmi, di sini hari ini.

Aishah juga menegaskan bahawa tindakannya itu adalah kerana prinsip dan bukan disebabkan oleh sikap tamak.

“Ini soal prinsip dan bukan soal wang semata-mata. Sebagai artis yang sudah 31 tahun dalam industri, perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku.

“Ikutkan memang perkara ini memberi tekanan. Bagaimanapun pengalaman dalam bidang politik juga memberi kelebihan untuk saya meneruskan tindakan tegas ini.


Video oleh HASNURUL MOHAMED

“Saya mahu memberi pe­ngajaran kepada pihak penaja dan badan penyiaran agar tidak sewenang-wenangnya membuli artis,” tegasnya.

Berhubung jemputan penaja baharu musim baharu GV5, Datuk Seri Alif Syukri ke program tersebut pada Ahad ini untuk menyelesaikan permasalahan yang berlaku, Aishah dengan jelas menolak idea tersebut.

“Saya sudah memberi ruang masa yang lama untuk perkara ini diselesaikan namun tidak diendahkan. Soal jemputan ke konsert mingguan GV5 Ahad ini, sebenarnya saya tidak diberitahu butir lengkap mengapa saya perlu hadir.

“Jadi saya tidak akan hadir kerana saya tidak lihat bagaimana perkara ini dapat diselesaikan di atas pentas itu nanti,” jelasnya.

Sementara itu ditanya me­ngenai hadiah tanah lot banglo yang turut menjadi pertikaian pihaknya dalam laman sosial beberapa hari lalu, Aisyah menjelaskan, buat masa ini dia sedang mencari waktu sesuai untuk menjelaskan permasalahan yang dihadapinya.

“Saya akan adakan sidang media kedua mengenai masalah tanah ini. Tetapi difahamkan lokasi untuk tanah lot tersebut juga masih belum ada selain keluasan tanah itu juga tidak sesuai untuk membina sebuah banglo.

“Perkara ini akan dijelaskan dengan lebih terperinci nanti,” katanya.