Rakaman video pelakon tersebut, Hairul Azreen Idris, 30, yang berdurasi 48 saat tular di laman sosial YouTube sejak tiga hari lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, kejadian melepaskan tembakan tersebut berlaku di belakang rumah bapa saudaranya di Kampung Parit Jerman, Sitiawan pada Julai 2016.

“Menerusi video tersebut, Hairul Azreen dilihat melepaskan dua tembakan menggunakan senapang patah milik bapa saudaranya yang dilesenkan untuk membunuh musuh tanaman.

“Dia dipanggil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut kerana khuatir video tersebut boleh mencetuskan persoalan dan kebimbangan kepada masyarakat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di sini hari ini.

Menurutnya, senjata senapang patah jenis SK500 tersebut dan 29 butir peluru penabur hidup dirampas bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 8, 39 dan 41 Akta Senjata Api 1960.

Sementara itu, difahamkan pelakon tersebut dijangka hadir di IPD Perak Tengah petang ini untuk memberi keterangan. - UTUSAN ONLINE