Meskipun pernah berdepan kritikan hebat ketika baru berjinak-jinak dalam dunia muzik namun Fazura atau Nur Fazura Sharifuddin, 34, tidak mudah melatah dan putus asa.

Menyifatkan nyanyian sebagai minat yang telah tertanam sejak kecil, Fazura pastinya sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memperbaiki diri sehingga mampu mendapat kepercayaan pihak Universal Music Malaysia untuk menerbitkan albumnya.

Ternyata usaha tanpa mengenal lelah anak kelahiran Pekan, Pahang ini tidak sia-sia. Impian waktu kecilnya kini sudah menjadi realiti, sekali gus membuktikan penyanyi yang mula muncul dengan lagu Sayangi Dirimu ini memiliki bakat tersembunyi.

“Minat menyanyi sudah wujud sejak kecil lagi. Siapa sangka, cita-cita zaman kanak-kanak saya menjadi kenyataan apabila diberi peluang untuk menghasilkan album.

“Pada mulanya hanya untuk suka-suka. Bagi saya, mempunyai single sahaja pun sudah memadai.

“Tanpa saya sangka, pihak Universal Music Malaysia sudi menerbitkan sebuah album dan secara tidak langsung menjadikan impian saya lebih manis,” katanya.

Sehubungan itu, Fazura sangat berterima kasih kepada Universal Music Malaysia dan Sahajidah Hai-O Marketing kerana dengan kerjasama ini, dia kini bergelar penyanyi yang mempunyai sebuah album penuh.

“Yang membuatkan saya lebih gembira, album ini memberi saya peluang untuk bekerja dengan komposer hebat dan berpengalaman.

“Walaupun pada awalnya timbul rasa bimbang dan tertekan tapi apabila bekerja, mereka semua sangat baik dan banyak membantu saya,” tambahnya.

Bukan itu sahaja, katanya, Universal Music Malaysia juga begitu percaya dengan bakatnya dan sentiasa memberikan sokongan.

“Hilang rasa bimbang dan tertekan sebaliknya timbul rasa gembira dan bersemangat untuk saya melakukan yang terbaik,” jelasnya.

Dekat di hati

MENGANDUNGI sembilan buah lagu iaitu Bangun, Bisa Apa, Cinderella (duet dengan Fattah Amin), Lalu, Cinta Langka (duet dengan Ariadinata), Hanya Tuhan Yang Tahu, Only God Knows, Sayangi Dirimu versi akustik serta Hancur Aku (duet dengan Estranged), Fazura tidak melepaskan peluang mempersembah dua buah lagu iaitu Bangun dan Hanya Tuhan Yang Tahu ketika majlis pelancarannya baru-baru ini.

Sewaktu menyanyikan lagu Hanya Tuhan Yang Tahu, Fazura tidak mampu menahan sebak dan menitiskan air mata.

Menurutnya, lirik lagu tersebut begitu menyentuh hati kerana menceritakan tentang pengalaman seseorang yang pernah patah hati.

“Semua lagu yang terkandung dalam album ini sangat dekat dengan hati saya. Apabila saya dengar dan hayati lagu dan liriknya, betul-betul mencerminkan diri saya,” jelas Fazura.

Lagu-lagu tersebut, tambahnya, juga mempunyai cerita dan makna yang sangat mendalam.

“Contohnya lagu Hanya Tuhan Yang Tahu yang bukan sahaja bererti kepada saya tetapi saya yakin semua orang juga ada kaitan dengannya kerana menceritakan tentang patah hati.

“Saya tahu, semua pernah melalui pengalaman tersebut. Saya sendiri menangis ketika mula-mula mendengarnya, begitu juga dengan beberapa orang kawan saya.

“Apatah lagi menyanyikannya dalam majlis yang sangat bermakna seperti ini. Pastinya saya tidak mampu menahan tangisan,” ujar Fazura yang turut bakal merakam lagu dengan artis antarabangsa.

Sementara itu, ditanya mengenai kerjaya lakonan pula, pelakon filem Manisnya Cinta di Cappadoccia ini mengakui tumpuannya kini terhadap kedua-dua bidang yang diceburi.

Baginya, walaupun sibuk mempromosikan album, karier lakonan tidak diabaikan.

“Selepas ini fokus saya perlu dibahagi dua iaitu berlakon dan menyanyi. Selagi yang saya lakukan dapat memberi sumbangan kepada industri, saya serius untuk melakukannya walaupun jadual harian sangat padat.

“Ini kerana dua kerja tersebut memberi kepuasan kepada saya. Berlakon membolehkan saya memahami pelbagai karakter, manakala menyanyi dapat mencurahkan segala perasaan menerusi lagu,” akhirinya.