Sebenarnya soal kematangan menjadi ukuran yang bergerak seiring dengan usia. Tentu sahaja, angka 30 membuatkan sebahagian besar daripada golongan wanita sudah bersedia untuk menurunkan pecutan bagi memberikan tumpuan kepada soal peribadi dan membina keluarga sendiri.

Pun, bercakap soal angka 30, ia tidak perlu dibimbangkan bagi wanita yang satu ini. Reen Rahim tidak pernah menjadikan soal usia sebagai sesuatu yang harus ditakutkan, berbeza dengan sebahagian wanita yang lain.

“Saya tidak pernah menjadikan pertambahan usia sebagai satu hal yang menakutkan. Ya, mungkin bagi segelintir wanita mereka sangat sensitif dalam soal umur, tetapi apalah ada pada angka sekiranya belum mencapai apa yang dicita-citakan dan beroleh kejayaan.

“Soal usia saya letak ke tepi dulu. Masih banyak perkara yang perlu usahakan. Kerja dalam bidang seni bukan seperti bidang profesional yang lain. Kalau mereka semakin berusia semakin naik pangkat, anak seni pula perlukan pengorbanan. Mahu tak mahu saya perlu berusaha gigih untuk terus berjaya,” kata Reen mengatur bicara.

Dicungkil bakat menerusi rancangan realiti Pilih Kasih (RTM) lima tahun yang lalu, Reen tidak lagi menoleh ke belakang. Meskipun sedar namanya tidak terlalu tinggi melangit dan tidak juga terlalu rendah kedudukannya, dia kekal bersyukur kerana orang menyedari kehadirannya.

Fasa yang sedang dilaluinya kini merupakan detik yang cukup mencabar apatah lagi dengan kehadiran orang baharu yang muncul sekelip mata.

“Saya tidak pernah takut sekiranya orang tidak lagi suka kerana faktor usia. Peminat hari ini bukan seperti yang dahulu di mana kebanyakan mereka semakin terbuka menerima apa sahaja. Soal kualiti kerja paling penting dan itu juga yang akan membawa kepada sebuah kejayaan.

“Jika dilihat kepada keadaan semasa, ada yang sudah beranak-pinak tetapi masih disukai ramai. Kalau mereka mampu berada di tahap itu, mengapa saya tidak? Apa sahaja kejayaan yang dilihat saya jadikan inspirasi untuk berjaya dan pastinya soal usia tidak akan sama sekali menjadi halangan,” tambahnya lagi.

Hubungan

MENJENGAH usia 30 juga, soal jodoh acap kali menjadi soalan yang sering didengar. Perkara berkenaan biasanya memberikan tekanan kepada golongan wanita yang masih berstatus bujang. Takut digelar anak dara tua pun ya juga.

Dia tahu ramai yang skeptikal saat melihatkan wanita seusia dengannya yang masih belum berjodoh. Bagi segelintir pihak, usia 30 agak terlambat untuk seorang wanita dan pastinya akan memberikan tekanan bukan sahaja kepada empunya diri tetapi juga kepada keluarga.

Tidak pula bagi pelakon yang popular dengan filem Rempit Sampai Langit ini di mana dia tidak pernah tertekan dengan soal jodoh yang sering meniti di bibir kebanyakan orang.

“Susah sebenarnya mahu bercakap soal ini kalau perkara tersebut belum tiba. Saya tidak mahu dilihat sebagai wanita yang terlalu mengejar jodoh kerana orang sekeliling sudah berkahwin dan sebagainya. Saya percaya jika perkara tersebut sudah tiba, pasti pernikahan itu akan berlangsung.

“Cuma bilakah pula giliran saya? Semuanya saya serahkan kepada Tuhan sebaik-baik perancang. Kalau tiba saatnya, pasti saya akan umumkan kepada semua,” kata Reen memberikan jaminan.

Pun begitu, Reen bersyukur kerana keluar­ganya tidak pernah mendesak dengan pelbagai persoalan tentang jodoh. Mereka percaya kepada dirinya dan menyerahkan bulat-bulat keputusan tentang hal yang satu itu kepadanya.

Untuk dirinya pula, dia sentiasa berpegang kepada frasa positif dalam apa juga perbuatan. Dia tidak akan sama sekali ‘termakan’ dengan perkara negatif yang cuba ditambah oleh mana-mana pihak dalam kehidupan sejak dahulu.

“Untuk apa membebankan kepala dengan persoalan negatif orang lain? Sebab itu saya memilih untuk hidup gembira tanpa perlu memikirkan cakap orang lain yang belum tentu ada kebenaran. Belum berkahwin tidak bermakna saya tak gembira dengan kehidupan sekarang,” kata yang sarat dengan seribu satu makna.

Bercerita lanjut mengenai hal jodoh, Reen turut berkongsi cerita yang dia pernah tidur dan bermimpikan mempunyai anak sebelum ini. Namun perkara tersebut tidak sama sekali membuatkan dia tertekan untuk memiliki anak secepat mungkin.

“Tidak dinafikan kebanyakan rakan saya semuanya sudah membina keluarga dan memiliki cahaya mata sendiri. Saya sedia maklum dengan keadaan itu dan gembira kerana mereka melangkah ke satu fasa yang diidamkan sejak dahulu.

“Tapi untuk saya, biarlah perkara itu hadir bila tiba waktunya. Biarlah saya bekerja kuat mencari wang dan mengejar apa yang diimpikan. Tak perlu terlalu ‘mencari’ semata-mata mahu segera kelihatan sama dengan yang lain. Doakan sahaja yang terbaik buat saya,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Reen mendedahkan yang dia sebenarnya sudah membuka hati buat seorang lelaki setelah dua tahun putus cinta sebelum ini. Lelaki yang dirahsiakan identiti itu, benar-benar memberikan jiwa untuk dia kembali bercinta seperti pasangan lain.

Soal keserasian, hormat-menghormati dan beberapa aspek lain diambil kira untuk melayarkan bahtera cinta mereka seperti yang diidamkan.

“Saya sukakan dia kerana dia menerima saya seadanya. Kami saling menerima kelebihan dan kekurangan dan faktor itu juga yang membuatkan saya membuka hati untuk bercinta semula. Buat masa sekarang biarlah kami saling kenal mengenal antara satu sama lain dahulu.

“Soal kahwin biarlah masa yang menentukan. Saya percaya kalau sudah terbuka hati nanti, bila-bila pun boleh berkahwin,” katanya yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Seharum Kasih.

Tambah pelakon yang popular dengan drama Lambaian Ramadan ini lagi, dia mahukan lelaki berkenaan menerima dirinya sebagai Noreen Ashikin Abdul Rahim dan bukannya Reen Rahim seperti yang dikenali ramai.

Masih banyak ‘perangai’ yang tidak didedahkan kepada umum perlu diketahui dan diterima dengan baik oleh kekasihnya itu sebelum mereka bergerak ke fasa seterusnya.