Ternyata keputusan pihak pengurusan Utusan Melayu (M) Bhd. menerbitkan sebuah majalah hiburan dengan terbitan perdana pada 15 Januari 1970 satu keputusan tepat.

Pihak pengurusan pada masa itu memikirkan perlunya ada sebuah majalah hiburan kerana tidak banyak majalah genre tersebut di pasaran ketika itu.

Sementelah pada masa itu majalah Utusan Film & Sport yang juga terbitan Utusan Melayu sudah diberhentikan penerbitan.

Untuk penerbitan URTV itu sekumpulan wartawan kanan di Utusan Melayu diberi tanggungjawab mengendalikannya dengan AR Kamaludin mengepalainya.

Sarimah Kian Improve. Itulah tajuk utama dengan seniwati Sarimah dipilih sebagai penghias muka hadapan dengan harga pengenalan 30 sen. Pada masa itu Sarimah antara pelakon hebat dunia perfileman Malaysia.

Sesuai dengan namanya, pengisian URTV pada edisi terawal juga mengangkat program televisyen (TV) yang ada pada masa itu. Program Juara Kugiran antara yang mendapat liputan meluas.

Sementelah program itu sendiri diilhamkan apabila melihat semaraknya kugiran yang mahu melangkah ke dunia muzik. URTV antara yang banyak mempromosikan kugiran yang muncul.

Antara kugiran tempatan yang mendapat liputan termasuk Orkes Nirwana, The Zurah, De Fictions dan banyak lagi. Penghibur di kelab turut mendapat tempat dalam URTV.

Pada tahun yang sama URTV juga membuat perubahan untuk memberikan kepuasan kepada pembaca dan harga dinaikkan kepada 40 sen senaskhah.

Dari semasa ke semasa, majalah dwi bulanan itu turut dinaikkan harga dengan harga terkini RM5.00 termasuk GST. Sejak Januari tahun ini URTV kini terbit secara bulanan.

URTV juga mengalami perubahan masthead sesuai dengan perubahan zaman yang dilalui. Daripada Utusan Radio & TV pada era 70-an diberi wajah baharu dengan singkatan URTV sejak era 1980-an hingga sekarang.

Perubahan masthead dianggap perlu untuk menjadikan URTV terus relevan dari zaman ke zaman dan nampak sentiasa segar untuk cita rasa remaja pada zamannya.

Motto URTV juga turut berubah. Kali pertama dengan motto Majalah Hiburan Untuk Semua dan pada era 1980-an hingga sekarang ditukar kepada Majalah Hiburan Paling Popular.

Tahun 1980-an boleh dianggap zaman kemuncak URTV. Pada masa itu golongan selebriti juga semakin bercambah dengan adanya stesen televisyen swasta dan pertambahan bahan tempatan di kaca TV.

URTV menjadi lebih selektif dengan hanya memilih nama-nama popular sebagai penghias muka depan dan pengisian dalaman. Sebab itu artis turut berasa tempias populariti apabila menghiasi dada majalah URTV.

Sepanjang 45 tahun ini banyak nama besar dalam bidang kewartawanan hiburan memberi sentuhan mereka kepada URTV. Antaranya Bahyah Mahmood (BAM), Juwie, Rosie Hashim, Norshah Tamby, Mustafa AR, Norbaya Musa, Muzlina Abu Bakar, Huzz, Fatimah Hassan dan ramai lagi.

Bahyah atau BAM menjadi nama yang sangat sinonim dengan URTV. Dia antara yang menjadi wartawan sejak awal dan menjadi peneraju URTV daripada pertengahan era 1970-an hingga 1990-an.

“URTV sebuah majalah hiburan yang layak dilabel sebagai majalah legenda kerana kebanyakan kita mengenali URTV dari generasi muda zaman 70-an sehingga anak muda hari ini mengenali dan mengikuti perkembangan hiburan melalui URTV,” kata bekas Pengarang URTV (2008-2014), Huzz.

Huzz yang juga pernah menjadi wartawan URTV pada 1993 hingga 2001, berasa bangga kerana pernah menerajui majalah yang pada awalnya dipelopori oleh bapanya sendiri, Allahyarham AR Kamaludin.

Wartawan generasi baharu URTV, Fadhil Abdollah atau nama penanya, Deel Anjer menganggap penglibatannya sebagai wartawan majalah tersebut sebagai satu penghargaan yang tidak ternilai harganya kerana majalah yang dikenali semasa masih kanak-kanak itu sebagai sebuah majalah yang gah.

“Saya rasa kerdil bila sebaris dengan nama-nama besar yang pernah menaikkan URTV, itu memberi saya semangat dan inspirasi untuk menghasilkan sesuatu yang boleh dijadikan rujukan selepas ini,” kata Deel yang menyertai URTV pada 2013.