Gelanggang pentas dibuka dengan persembahan penuh bertenaga daripada Ungu yang dibarisi Pasha, Makki, Oncy, Rowman dan Enda sehingga stadium bergema dengan sorakan yang memenuhi ruang.

Hampir setahun tidak beraksi di pentas besar dan sekian lama tidak muncul di Malaysia, kehadiran Ungu benar-benar mengubat kerinduan peminat sepanjang satu jam setengah persembahan mereka.

Tidak hanya memukau penonton dengan seleksi lagu terbaik mereka, malah celoteh Pasha yang mengundang tawa bagai sebuah jambatan yang menghubungkan penonton dengan mereka.

Ternyata pengalaman selama 20 tahun sebagai penghibur mematangkan Ungu dalam memenangi hati penonton.

“Bagi kami, dalam menjayakan sesebuah konsert, kami bukan hanya perlu menyanyi dengan baik tetapi juga perlu ada komunikasi bersama penonton.

“Suasana akan menjadi lebih menarik dan tenaga kami semakin bertambah apabila penonton turut memberikan respons yang positif.

“Sebenarnya komunikasi bersama penonton sangat penting agar sesebuah persembahan itu hidup berkesan. Tidak dinafikan juga, perkara inilah yang menjadi rahsia bagi kumpulan Ungu terus bertahan dalam industri muzik.

“Bukan itu sahaja, sokongan dan respons hebat daripada mereka juga membuatkan saya berasa tidak puas meskipun sudah menyanyi 10 buah lagu,” ujar Pasha ketika ditemui di belakang pentas.

Ungu membuka pentas dengan lagu Hatiku Hampa. Lagu rancak itu secara tidak langsung menyuntik tenaga buat penonton yang telah menunggu seawal pukul 6 petang.

Manakala senarai lagu popular seperti Percaya Padaku, Andaiku Tahu, Bila Tiba dan Kekasih Gelapku membuatkan penonton turut sama menyanyi bersama Pasha.

Pada pertengahan persembahan, Pasha mengundang Idayu (Akademi Fantasia) sebagai pasangan untuk menyampaikan lagu Tercipta Untukku. Kemantapan vokal mereka berdua mengundang jeritan dan tepukan gemuruh.

Pastinya persembahan yang cukup indah itu mengusik kenangan setiap penonton yang membesar dengan lagu-lagu dendangan kumpulan dari seberang ini. Usah dipertikai, mereka mempunyai kekuatan dan ikatan jiwa yang kuat dengan peminat muzik tempatan.

Diukur dari sorakan demi sorakan, pastinya kita semua mengangguk setuju aura Ungu masih kukuh di hati Malaysia. Malah, ada peminat yang menitiskan air mata kerana teruja dan terharu dengan emosi yang dipersembah oleh Pasha.

Itu kelebihan yang ada pada penyanyi yang kini sudah bergelar ahli politik. Dia mampu membawa peminat melayari setiap bahtera lagu dengan jiwa dan pemahaman lirik yang dipancarkan menerusi suara emasnya.

Kemunculan Afgan pada slot kedua konsert amat dinanti-nantikan oleh peminat setianya. Meskipun baru sahaja muncul dalam konsert skala besar pada awal Ogos lalu, aura Afgan sama sekali tidak pudar.

Sorakan penonton tatkala Afgan tampil di atas pentas membuktikan persembahan penyanyi yang bakal menyambut ulang tahun ke-10 dalam bidang seni suara ini sentiasa mendapat sokongan peminat.

Dengan seleksi lagu balada seperti Pesan Cinta, Bukan Cinta Biasa dan Terima Kasih Cinta, kekuatan vokal Afgan memang sukar dinafikan. Sementara itu, nyanyian beberapa buah lagu rancak antaranya, Katakan Tidak, Knock Me Out dan X membuatkan penonton turut sama menggoyangkan badan.

Meskipun menyanyikan 12 buah lagu tanpa henti, tenaga Afgan seperti tidak berkurang walau sedikit. Ia dapat dilihat sewaktu Afgan menutup pentas dengan lagu Knock Me Out di mana dia menguasai pentas dengan nyanyian yang betul-betul bertenaga.

Seperti mana yang dirasai oleh Ungu, Afgan turut mengakui tenaga yang diberikan oleh penonton menyebabkan dia sama sekali tidak lelah di atas pentas.

“Saya amat berterima kasih kepada penonton yang berjaya memberikan tenaga mereka kepada saya. Serapan tenaga itu membuatkan saya lebih bersemangat untuk meneruskan persembahan.

“Mereka (penonton) semua sangat ‘memberi’ dan sebagai penyanyi, saya tidak boleh mempersia-sia tenaga tersebut. Saya berpuas hati dengan persembahan pada malam ini dan lebih gembira apabila melihat penonton turut sama puas,” jelasnya.

Mengulas mengenai pemilihan lagu-lagu baharu untuk dipersembah pada konsert tersebut, Afgan punya alasan tersendiri.

Menurut Afgan atau Afgansyah Reza, kematangannya sebagai penghibur ada dalam lagu baharunya membuatkan dia lebih gemar memilih lagu-lagu tersebut dalam setiap persembahannya kini.

Selain itu, Afgan tidak pernah jemu mengadakan konsert terutama di Malaysia dan dia merancang untuk bertemu lagi peminatnya menerusi konsert pada tahun hadapan. Lantas, pemilihan lagu baharu kali ini dianggap sebagai perkenalan sebelum berlangsungnya konsert lain.

“Kalau ada rezeki, saya merancang untuk mengadakan konsert lagi pada tahun depan. Sebenarnya, walaupun kerap ke Kuala Lumpur, saya yakin untuk terus membuat konsert di sini kerana ia bukan sebagai tanda penghargaan kepada peminat malah saya tahu mereka sentiasa menyokong saya.

“Pada konsert kali ini, saya banyak menyampaikan lagu baharu kerana saya mahu memperkenalnya kepada mereka. Dengan cara ini peminat akan semakin rindu dan ‘penasaran’ untuk menyaksikan konsert akan datang,” jelasnya.