Memandangkan ayahanda dan bondanya merupakan orang seni jadi tidak hairanlah Aziz dan adik-beradiknya yang lain turut mewarisi bakat seni. Malah sebagai anak seni, Aziz sudah didedahkan dengan dunia lakonan sejak usianya enam bulan lagi dalam filem Ibu Ayam arahan Allahyarham Salleh Ghani. Dia memegang watak sebagai anak kepada Salmah Ahmad dan Allahyarham Datuk Mustafa Maarof.

Karier seninya dikembangkan lagi bila mana Aziz bersama tiga lagi adik-beradiknya terpilih membintangi filem Sayang Anakku Sayang ketika berusia 13 tahun. Lakonan mantapnya membolehkan Aziz dinobatkan Pelakon Kanak-Kanak Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik Ke-22 di Korea Selatan pada tahun 1976.

Namun disebabkan kurangnya watak kanak-kanak melalui filem, membuatkan Aziz banyak membintangi drama minggu ini terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM). Aziz menuntut di Sekolah Menengah Sri Pantai bersebelahan Angkasapuri membolehkan dia berkunjung ke RTM setiap hari selepas sesi persekolahannya. Selain drama TV, Aziz juga aktif dengan drama-drama radio.

Ketika usianya menginjak 18 tahun, Aziz merasakan dirinya tidak berminat lagi dengan dunia lakonan sebaliknya dia lebih berminat dengan dunia di belakang tabir yang membabitkan penerbitan sesebuah drama. Ketika pelakon lain berehat-rehat dan bersembang, Aziz lebih suka membelek-belek kamera dan melihat peralatan teknikal yang digunakan ketika shooting. Demi mempelajari teknik penggambaran Aziz boleh habiskan masa sehari suntuk menonton lima buah filem di panggung yang berlainan.

Dalam diam-diam rupanya perangai Aziz ini diperhatikan Zohara Gany Bathusa penerbit dan pengarah drama bersiri Opah yang menawarkan Aziz sebagai Penolong Penerbit. Ketika itu usianya 21 tahun.

“Saya lihat filem Hollywood banyak tampilkan perubahan dalam setiap filem berbanding filem Malaysia masih di tahap yang sama. Sejak itu saya menyimpan cita-cita untuk menjadi penerbit filem. Mungkin sudah rezeki 1986 saya ditawarkan mengarahkan drama pertama, Mawas. Drama yang digarap dalam bentuk purba seram ini telah mendapat tontonan tertinggi dan sejak itu saya semakin mendapat perhatian syarikat penerbitan drama yang lain,”katanya yang meminati filem yang luar biasa daripada segi visual dan penceritaannya.

Sejak itu Aziz menjadi rebutan banyak syarikat penerbitan drama dan filem. Kebanyakan filem arahannya mengondol pelbagai anugerah yang dipertandingkan. Sehingga kini Aziz masih lagi aktif menerbit serta mengarah filem melalui syarikatnya Ace Motion Pictures Sdn Bhd. Terbaru XX Ray 3 bakal ditayangkan sebelum hujung tahun ini.

Pantang dicabar

Selain seorang pengarah yang senang bekerjasama di lokasi, Aziz juga merupakan seorang yang pantang dicabar. Baginya menyahut cabaran dapat memberi kepuasan kepada dirinya dan ada waktunya cabaran yang disahutnya antara kenangan manis yang tidak boleh dilupakannya.

Kata Aziz, Sepatutnya filem Leftenan Adnan bukan dia yang arahkan tetapi disebabkan rasa tercabar membuatkan dia menyahut cabaran tersebut.

“Sebenarnya saya baru selesai mengarahkan filem komedi Senario dan selepas itu diminta pula mengarahkan filem sejarah sesuatu yang serius tentang Leftenan Adnan yang merupakan hero pujaan Malaysia. Waktu itu memang saya tidak bersedia lagi untuk mengalihkan minda dari genre komedi kepada sesuatu yang serius. Tapi disebabkan mereka bercadang untuk meminta pengarah dari India mengarahkan filem tersebut membuatkan saya berubah fikiran.

“Bila fikirkan pengarah luar yang bakal mengarah filem sejarah berkenaan hero kita, saya rasa tercabar macam pengarah di Malaysia ini tidak mampu mengarahkan filem sebegini. Ini yang buat saya rasa tercabar dan terus menerima tawaran mereka. Syukur alhamdulillah filem arahan saya ini berjaya memenangi lapan anugerah pada malam Anugerah Karyawan.”

Antara anugerah tersebut, Badaruddin Azmi memenangi Anugerah Pengarah Fotografi dan Jurukamera Terbaik, Nazrul Asraft Mahzan memenangi Anugerah Pengarah Seni Terbaik dan Anugerah Reka Bentuk Set Terbaik. Manakala Aziz pula bagi kategori Anugerah Penyunting Terbaik filem Leftenan Adnan. Jurusolek Mikail Abdullah pula memenangi Anugerah Pendandan Rambut dan Anugerah Jurusolek. Anugerah Penata Bunyi Terbaik pula dimenangi Azman Abu Hassan.

Kenangan manis yang tidak boleh dilupakan Aziz ketika diminta membuat filem dalam waktu terdekat. Tanpa sebarang skrip, Aziz muncul dengan filem terbarunya Puteri Impian.

“Sepatutnya saya mula mengarahkan filem terbaru Senario tetapi disebabkan pengurusan TV3 berubah maka saya diarahkan membuat filem lain terlebih dahulu. Tanpa sebarang perancangan dan skrip saya terus mengarahkan filem Puteri Impian lakonan Cico dan Amy Mastura. Skrip untuk dialog hanya dibuat ketika saya berada di lokasi penggambaran. Begitulah rutin saya sepanjang penggambaran filem tersebut.

“Sebenarnya saya pernah buat drama tanpa sebarang skrip tetapi untuk sebuah filem dengan medium yang besar memang sesuatu yang mustahil dan memang di luar dugaan. Saya juga tidak menyangka dengan izin Allah filem Puteri Impian ini meletup. Itulah antara kenangan yang tidak boleh saya lupakan hingga sekarang,” kata Aziz peminat tegar Steven Spielberg dan George Lucas ini.