Ujar Ulat Bulu Man, majlis tersebut telah diadakan semalam di Zamirul Bistro Telok Cempedak yang merupakan penaja lokasi rasminya dan pelbagai program turut diadakan sebagai tanda terima kasih kerana setia menyokong perjalanan kariernya dalam industri muzik.

“Walaupun saya orang baharu dalam industri muzik ini, tidak salah jika saya mengambil keberkatan Syawal ini untuk meraikan para sahabat dan juga peminat yang tak pernah putus memberi kata semangat.

“Bak kata orang, siapalah kita tanpa peminat. Sehubungan itu, peminat harus diutamakan kerana kita menyanyi sebagai hiburan untuk mereka,” katanya kepada Utusan Online.

Ulat Bulu Man juga memberitahu dalam majlis tersebut, dia turut menjemput seramai 48 penghuni Rumah Anak-Anak Tengku Ampuan Fatimah dan sumbangan sebanyak RM500 telah diberikan kepada mereka.

“Sumbangan duit raya itu datangnya daripada kumpulan Ulat Bulu Man Fans dan saya berpendapat apa yang kita miliki, kita harus kongsikan bersama kerana mereka juga berhak untuk menikmati kegembiraan sama seperti orang lain.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Presiden Pertubuhan Anak Melayu Pahang, Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant kerana sudi hadir ke majlis tersebut sekali gus menjadikannya lebih meriah.

“Tidak lupa juga kepada rakan kerja startegik seperti Zamirul Bistro, Hantzrockerz Live Karaoke, Laypark Foodcourt serta Olie Sound Event kerana sama-sama menjayakan program yang disifatkan sebagai hadiah untuk peminat,” katanya.

Majlis sambutan hari raya bersama Ulat Bulu Man turut dimeriahkan dengan penglibatan para peniaga tempatan seperti De Satay, The Wak Recipe, Kedai Runcit Sahar, Bamboo Western Food, Nasi Kukus Kembar serta Golden Tarbus Shisha. – UTUSAN ONLINE