Bertempat di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC, sambutan tersebut menyatukan MPYO sebagai salah satu orkestra termuda negara ini dengan pemuzik-pemuzik orkestra berpengalaman RTM yang bermula sejak tahun 1961.

Bertemakan MPYO & Friends itu akan dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah, Adibah Noor dan penyanyi Jazz Indonesia, Harvey Malaiholo.

Pengarah Artistik, Datuk Mokhzani Ismail berkata, sebanyak 18 buah lagu akan dipersembahkan sepanjang tempoh dua jam persembahan yang dijadualkan bermula pada pukul 8.30 malam.

“Susunan lagu akan digubah mengikut kesesuaian persembahan dan diharapkan penonton tidak mengira usia akan memberi sokongan tidak hanya kepada selebriti tetapi juga kepada pemuzik tanah air.

“Persembahan ini bukan sekadar memberi penekanan kepada penyanyi malah turut mengetengahkan pemuzik muda yang rata-rata berusia kurang daripada 25 tahun,” katanya kepada Utusan Online.

Konsert itu bakal dipimpin oleh Ahmad Muriz Che Rose dari MPYO sementara Leonard Yeap pula mewakili Orkestra RTM.

Tambah Mokhzani lagi, konsert ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada generasi muda tentang muzik orkestra.

“Kita nak galakkan dan memupuk pemuzik remaja terhadap bidang seni tanah air. Generasi kini mungkin kurang tahu tentang muzik orkestra dan dengan cara ini ia dapat membuka mata ramai pihak,” ujarnya lagi.

Tiket sudah mulai dijual kepada orang awam pada harga RM100 dan RM60 dan boleh melayari laman sesawang www.mpo.com.my atau hubungi 03-23317007.- UTUSAN ONLINE