Namun, kegemilangan Ukays itu tidak berpanjangan dek kerana permasalahan dalaman yang menyebabkan ada antara peminat Ukays keliru sama ada kumpulan itu masih wujud atau tidak.

Masakan tidak, vokalisnya, Amir masih lagi menggunakan nama Amir Ukays sedangkan kumpulan Ukays pula mengumumkan mereka sudah mempunyai penyanyi yang baharu.

Baru-baru ini, Amir Ukays yang ditemui Mega HITS menegaskan bahawa peminat tidak perlu keliru kerana Ukays dikenali kerana suaranya.

“Sejak album Mencari, Bisa Berbisa, Tajam Menikam, Panas Berpanjangan, Cuma Aku Yang Hidup dan Pijar Kasmaran. Semuanya menggunakan suara saya.

“Jadi tidak perlu keliru. Kecuali kalau Ukays yang sekarang dengan vokalis yang baharu ini mempunyai suara seperti saya, baru boleh rasa keliru,” tegasnya.

Kemelut antara Ukays ini mula muncul apabila gitaris kumpulan itu, Amy yang mengambil keputusan untuk mengambil vokalis baharu.

Bagi Amir pula, dia sentiasa mengikuti perkembangan Ukays. Tetapi apa yang dilakukan oleh Amy nampaknya seperti memperlekeh nama Ukays itu sendiri.

Ukays menurut lelaki itu adalah satu nama yang sudah gah.

Namun diperlekeh kini dengan persembahan yang dianggap tidak sama taraf dengan populariti Ukays.

“Saya tidak kisah kalau Amy nak mengemudi Ukays. Saya pun tidak pernah terniat untuk kembali bersatu semula dengan Ukays.

“Cuma apa yang dilakukan oleh Amy itu sebenarnya tidak lancar. Sehingga kini, nama Ukays itu sudah hilang gahnya,” kata Amir.

Itu yang menyebabkan dia mengambil keputusan untuk memberitahu kepada Amy bahawa apa yang dilakukan kini bersama Ukays adalah sesuatu yang tidak menjadi.

“Saya ada mesej dia untuk ajak berjumpa. Tetapi sehingga kini, selepas hampir dua bulan, dia langsung tidak membalas mesej saya,” katanya.

Walaupun menyatakan pendirikan untuk tidak kembali bersama Ukays, jelas Amir, dia akan teruskan niat untuk kembali bersama anggota Uk’s.

Menurut Amir, dia tidak akan kembali bersama Ukays yang diterajui oleh Amy, sebaliknya memilih untuk bersama anggota asal Uk’s.

“Semua ini dalam perancangan lagi dan kita lihat bagaimana perjalanan keseluruhan. Kalau semuanya baik, kita akan teruskan,” jelasnya. - Gambar GAIE UCHEL

Persembahan solo Amir Ukays

Lama tidak muncul membuat persembahan, Amir akan tampil menerusi satu persembahan solo yang akan diadakan pada 1 Disember ini di D’Saji Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Menerusi persembahan itu, Amir akan menyanyikan lebih 12 buah lagu yang dipecahkan kepada dua segmen iaitu akustik dan bersama pemuzik.

“Jangan risau, lagu-lagu yang dinyanyikan pada malam itu semuanya yang popular. Sampaikan saya sendiri pening hendak pilih yang mana satu.

“Sebab hampir kesemua album Ukays mempunyai lagu-lagu yang hit. Tetapi saya pilih lagu-lagu yang cukup dekat pada hati peminat,” jelasnya.

Tambah Amir lagi, menerusi konsert itu, dia akan mengundang Saari Amri, komposer yang bertanggungjawab membawa dirinya ke dalam industri hiburan.

Malah, kebanyakan lagu popular Ukays juga adalah sentuhan dan ciptaan Saari.

“Saya mempunyai hubungan yang rapat dengan Saari. Dia yang mengajar saya untuk menyanyi, dia yang marah saya dan dia juga yang membawa saya dan Ukays dikenali sehingga kini.

“Jadi saya panggil dia untuk menyanyi bersama sebagai satu bentuk penghargaan kepada jasa dan sumbangan dia,” jelasnya.

Konsert ini dianjurkan oleh D’Saji Titiwangsa KL, Best FB KL Concerts dengan kerjasama Indera Management.

Tiket-tiket dijual dengan harga bermula RM100 hingga RM300. Mereka yang berminat boleh membeli menerusi laman MyTicket.Asia atau di kaunter D’Saji Titiwangsa.

Maklumat lanjut mengenai konsert dan tiket boleh berhubung terus menerusi Aalan Ahmad (018-2582805) atau Steve Wright (0111-6950047).