Kekecewaan itu antara faktor penyebab mengapa dia semakin kurang muncul di layar hanya kerana keengganannya membawakan watak seorang wanita berusia dan prinsip itu terus dipegang tanpa gentar.

Malah pelakon drama popular Cinderella itu mengakui, terkilan dengan sikap sesetengah produser dan pengarah yang masih berfikiran lapuk apabila melabelkan pelakon wanita berusia lewat 30-an dan ke atas sudah tidak relevan menjadi teraju utama sesuatu naskhah.

“Sedangkan sebenarnya banyak isu yang boleh diketengahkan oleh para pengkarya dan penerbit untuk wanita yang sudah memasuki usia matang seperti ini.

“Apatah lagi golongan ini mempunyai bakat dan pengalaman yang bukan calang-calang dan mereka telah terbukti mampu mewarnai setiap watak yang diberikan.

“Jika mahu dibandingkan dengan pelakon yang masih muda, tentu sahaja aktres berusia mempunyai kelebihan selain berkelayakan untuk menyandang watak berat dan utama,” katanya melontar pendapat.

Justeru dia berharap para produser dan pengarah tempatan akan mengubah persepsi yang hanya melihat pelakon muda dan cantik semata-mata untuk menerajui sesebuah karya.

“Jangan fikir pelakon wanita yang berumur tidak boleh diangkat sebagai watak utama, malah mereka juga ada daya penarik tersendiri dan istimewa sekiranya mendapat watak yang benar-benar berkesan.

“Apalah salahnya menaikkan martabat seseorang wanita daripada persepsi yang lain. Bukan sekadar memberi watak ibu-ibu atau orang tua sahaja,” luahnya.

Mengambil contoh pelakon terkenal Hollywood, Nicole Kidman yang masih berpeluang melakonkan watak seorang wanita yang jauh lebih muda daripada usianya yang kini menjengah angka 51 tahun.

Menurut Haliza, kurangnya pendedahan terhadap industri tanah air tentang situasi tersebut membuatkan skop watak bagi aktres berpengalaman sepertinya menjadi terhad.

“Saya suka karakter Nicole Kidman dalam siri Big Little Lies. Walaupun sudah berumur separuh abad, tetapi watak dalam cerita itu menonjolkan sisi berbeza. Walaupun dia sudah tua tetapi dia tetap diberi peluang untuk membawa watak yang jauh muda daripada dirinya yang sebenar. Hasilnya, siri itu sangat menyerlah.

“Berbeza dengan senario di Malaysia kerana mungkin Nicole hanya akan berpeluang memegang watak seorang nenek sahaja hanya kerana usianya yang sudah melangkaui 50 tahun.

“Sepatutnya industri kita sudah terbuka seperti Hollywood dalam memberi peluang yang lebih banyak kepada pelakon generasi 40-an ke atas.

“Sebab itulah, saya sarankan kita di sini perlu memulakan langkah yang sama dengan memastikan adanya penonjolan watak-watak bagi wanita yang matang sebagai pemegang watak utama.

“Saya rasa pelakon yang seusia dengan saya pun mengharapkan hal yang sama berlaku dalam industri kita kelak,” katanya yang mengakui tidak akan mewenang-wenangnya memegang sesuatu watak yang dirasakan kurang bersesuaian dengan kehendak dan prinsip dirinya.

Cinta lelaki misteri

AWAL Mei lalu pemenang Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Sri Angkasa 2005 menerusi drama Sumaiyah itu mendedahkan sedang berkawan rapat dengan seorang jejaka Inggeris.

Justeru kesempatan bertemu dengan pelakon terkenal ini pada majlis pelancaran teater Pokok di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini, Mega HITS bertanyakan perkembangan terkini hubungan mereka.

Katanya, lelaki yang dikenali sejak lima tahun itu adalah insan paling rapat yang sedang bertakhta di hatinya ketika ini, malah tanpa berselindung, Haliza juga mengakui mereka merancang untuk melangkah ke fasa lebih serius.

“Insya-Allah kalau ada jodoh, maka dialah orangnya. Kami masih belum ada tarikh rasmi, tetapi kalau semua urusan dipermudah mungkin dalam masa terdekat.

“Saya tidak mahu mendedahkan identiti dengan siapa saya sedang berkawan kerana biarlah perkara itu menjadi rahsia,” katanya sambil tersenyum.

Memegang utuh prinsip untuk tidak terlalu mendedahkan kisah peribadi kepada khalayak, jelas Haliza, untuk bergelar pelakon yang baik dan dihormati ramai, dia perlu kekal dengan caranya yang tersendiri.

“Saya sering terfikir apakah pada usia 45 tahun ini ada lagi orang yang kisah tentang hubungan cinta saya? Kalau boleh saya mahu cuba menjarakkan diri antara kerjaya dan peribadi.

“Bagi saya, kalau nak jadi pelakon yang baik kita tidak seharusnya mendedahkan kisah peribadi terlalu banyak kepada khalayak. Perlu ada misteri dalam diri agar penonton sukar membezakan karakter sebenar dengan yang dipersembah dalam lakonan.

“Ini kerana kalau terlalu terdedah, kelak penonton akan keliru dan tidak dapat membezakan lakonan pelakon tersebut sebab sentiasa dibayangi kisah-kisah peribadi,” tuturnya yang jarang mengemas kini perkongsian aktiviti harian dalam laman sosial.

Teater Pokok papar kemanusiaan, survival

BERKONGSI perkembangan terkini dunia lakonan, Haliza Misbun berkata, dia bakal menjayakan pementasan teater Pokok di Sanggar Tun Sri Lanang, Dewan Bahasa Pustaka bermula 7 Disember hingga 16 Disember ini.

“Saya memegang watak Mardiah iaitu seorang wanita yang lantang dan berani menyuarakan perkara yang dia rasa tidak betul," katanya mengenai naskhah tulisan Tan Sri Johan Jaaffar dan diarahkan oleh pengarah U-Wei Saari.

“Malah bukan senang nak dapat peluang berlakon dengan orang hebat seperti Johan Jaaffar dan U-Wei. Jadi sudah semestinya saya tidak akan lepaskan peluang ini.

“Walaupun pertama kali bekerja dengan U-Wei, saya tidak sabar untuk berkerjasama kerana saya memang ‘dahagakan’ pengalaman bekerja dengan orang sepertinya.

“Ini juga merupakan satu lagi peluang untuk saya mengutip sabanyak ilmu tentang persembahan seni dengan orang lama seperti U-Wei dan Johan,” tambahnya.

Selain Haliza, teater itu turut menampilkan pelakon Ebby Saiful, Rahim Jailani dan Buyung Zasdar.

Sementara itu, Johan memberitahu, ilham untuk menulis teater Pokok adalah berdasarkan kisah seorang wanita yang pernah ditemuinya sekitar tahun 90-an.

“Wanita itu saya namakan sebagai Mardiah dan dia bekerja sebagai pelayan kelab. Saya bertemu dengannya dan mendapat tahu dia ialah seorang bekas banduan.

“Jalan cerita hidupnya yang menarik itu telah menjentik minda saya untuk menjadikan sumber inspirasi karya ini.

"Semangat wanita itu saya serapkan dalam karakter Mardiah yang sedang hamil dan mempunyai jiwa yang cekal dalam mengharungi hari-harinya.

“Saya harap penonton dapat menghayati mesej di sebalik Pokok yang terselit nilai kemanusiaan, survival dan perjuangan,” kata Johan.

U-Wei pula mengakui begitu berbesar hati dengan kerjasama ini kerana dia memang mengagumi hasil tulisan Johan.

Bagi pengarah terkenal ini, jalan cerita Pokok sangat menarik untuk dipentaskan.

“Dari segi luaran nampak mudah tetapi ada beberapa lapisan yang perlu saya cari untuk menyelongkar karya ini dan aspek ini paling mencabar.

“Isteri saya juga menyifatkan karya yang bagus ini memerlukan saya untuk banyak berfikir membuatkan saya teruja untuk mengarahkan teater ini,” katanya.