Menurut bintang kelahiran Palembang, Indonesia itu, sedari usia enam tahun, ibunya, Komariah Mahmud telah membiasakan dirinya dan adik-beradik lain dengan pengamalan minuman jamu yang diwarisi turun-temurun.

“Apatah lagi selepas tamat tempoh berpantang, ibu menekankan mengenai khasiat jamu yang memberi manfaat jika diamalkan dengan betul.

“Pesan ibu, sebagai seorang wanita, harus sentiasa menitikberatkan kesihatan tubuh badan demi kebahagiaan rumah tangga,” katanya berkongsi cerita.

Melihat kepatuhan Tya mengikut resam tradisi keluarganya itu, timbul kemusykilan di hati Asyraf, untuk mempersoalkan tindakan isterinya itu yang dirasakan asing bagi dirinya.

Menurut Tya, suaminya itu bersifat skeptikal, sama seperti kebanyakan lelaki lain yang memandang rendah keberkesanan pengamalan jamu.

“Awalnya, dia tidak benarkan saya minum jamu kerana menganggap minuman herba itu boleh memanaskan organ dalaman wanita, lantas memudaratkan.

“Dia lebih percayakan kaedah perubatan moden dan meminta saya mengikut saranan doktor.

“Bagaimanapun, saya ingkar permintaannya tetapi pada masa sama memujuknya agar membenarkan saya minum jamu,” tutur Tya yang bernama lengkap Nurtria Wulandari Ariffin.

Akhirnya, Asyraf akur dan mengizinkan isterinya berbuat demikian sehinggalah hasil pengamalan jamu yang ditunjukkan Tya mengubah persepsi lelaki itu secara total.

Maka, timbul idea untuk Asyraf membantu cinta hatinya meneruskan legasi perniagaan keluarga mentuanya di negara ini dengan pengeluaran produk jamu di bawah jenama Mutyara Beauty. - UTUSAN ONLINE