Bercerita tentang patriotisme dan kesukanan, nyanyian lagu tema pastinya menjadi salah satu cara untuk menaikkan lagi semangat yang ada dalam jiwa.

Sempena KL2017, dua buah lagu tema telah dipilih secara rasmi iaitu Bangkit Bersama nyanyian Dayang Nurfaizah dan Tunjukkan Belang hasil kolaborasi Monoloque, Azlan And The Typewriter serta Malique.

Berpeluang menemu bual LoQue yang juga pencipta sepenuhnya lagu Tunjukkan Belang, penyanyi dan komposer itu mengakui berdepan kesukaran saat merakamkan lagu yang dianggapnya sebagai ‘bunyi baharu Malaysia’ ini.

“Sebenarnya sudah lama saya menyimpan impian untuk menghasilkan lagu nasionalisme yang releven dengan situasi negara kita sekarang ini. Apabila terpilih untuk menyumbang karya, saya nekad menghasilkan karya yang mampu meninggalkan sejarah untuk negara.

“Dalam soal ini, saya mahu memberi sebuah lagu yang mampu menjadi malar segar. Saya hasilkan karya yang segar dan releven bukan sahaja melalui lirik tetapi juga melodinya.

“Ternyata bukan satu tugas mudah untuk merealisasikan karya ini. Ketika proses rakaman, perkara yang paling saya risau dan takutkan jika adunannya menjadi ‘rojak’, bukannya menghasilkan bunyi muzikal yang merdu dan sedap didengar.

“Saya mengambil masa sebulan untuk mengadun semua bunyi Nusantara yang terkandung dalam lagu ini sehingga saya terpaksa korbankan banyak perkara antaranya masa dengan keluarga serta sambutan Aidilfitri tempoh hari. Untuk mencipta lirik dan lagu hanya ambil masa dua hari tetapi untuk adun dan menghasilkan sebuah lagu yang mencerminkan bunyi Malaysia itu sangat sukar.

“Namun saya bersyukur dan berterima kasih kepada Khairy Jamaluddin (Menteri Belia dan Sukan) kerana memberi saya peluang menyumbang karya ini serta menerima dan percayakan ‘bunyi baharu Malaysia’ ini,” jelas LoQue yang pernah mencipta dan berduet dengan Datuk Siti Nurhaliza menerusi lagu Tanah Airku Tanah Airmu Jua.

Tunjukkan Belang dimulakan dengan alunan pukulan gong diiringi muzik Melayu tradisional. Meskipun diselitkan muzik alternatif yang agak moden namun elemen tradisional untuk menggambarkan jiwa dan budaya Malaysia tidak diketepikan.

Suntikan rap dengan muzik zapin bagi memberikan evolusi baharu turut diselitkan LoQue dalam karyanya dan dinyanyikan oleh Malique.

“Sebagai pengkaji muzik alaf baharu, saya rasa saya kena buat semua itu. Bagi saya, orang lama tidak akan suruh buat perkara yang telah mereka lakukan. Jadi, saya mahu kekalkan tradisi lama namun diperbaharui dengan idea yang releven dengan masa kini.

“Komposer muzik tradisional, Pak Ngah juga bersetuju dengan yang saya lakukan. Katanya, karya kami perlu ada evolusi untuk tarik minat anak muda dan pada masa yang sama menanam kecintaan mereka terhadap seni tradisional.

“Dalam hal ini, saya ada prinsip tersendiri. Bagi saya, yang lama dipelihara dan yang baharu jangan disekat. Pun begitu, masih banyak yang perlu kami pelajari agar perkara yang tidak disekat itu bukanlah perkara yang melampaui batas,” ujarnya.

Lagu untuk pahlawan

Meskipun matlamat utamanya untuk membangkitkan semangat rakyat dan atlet negara namun LoQue tidak memandang ke arah itu semata-mata. Sebaliknya bekas anggota kumpulan Butterfingers ini memperluas karyanya kepada semangat kepahlawanan.

“Antara ilham yang hadir dalam menghasilkan lirik Tunjukkan Belang saya ambil daripada dua buah lagu nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Sekapur Sirih Seulas Pinang dan Tari Tualang Tiga.

“Selain melahirkan rasa kecintaan kepada bangsa dan negara serta sesuai untuk kesukanan, lagu yang saya cipta ini juga boleh ditujukan kepada pahlawan negara yang pergi berperang agar mampu mencapai kejayaan.

“Saya membayangkan rakyat Malaysia berjuang demi negara dalam apa jua keadaan. Dari situ, timbulnya semangat nasionalisme tatkala mendengar dan menghayati bait-bait kata dalam lagu ini.

“Saya berharap lagu ini mampu bertahan dan digunakan selama-lamanya,” akhiri LoQue yang menjadikan kritikan netizen terhadap lagunya sebagai pembakar semangat untuk terus berkarya dalam ‘bunyi baharu Malaysia’.