Walaupun pernah diberikan peranan yang berat dan serius di dalam drama tetapi tidak sampai ke peringkat sebagai setiausaha kepada seorang menteri.

Terbaru, pelakon berkelulusan Diploma Teater Akademi Seni dan Budaya Warisan Kebangsaan (Aswara) ini diberikan tanggungjawab yang berat dengan memegang watak sebagai setiausaha kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Watak itu akan digalas dalam teater Diari Wanita… Episod Kak Ani & Nyonya terbitan CTRA Production yang akan dipentaskan dari 11 – 16 Februari depan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

“Sebaik diberitahu saya akan membawakan watak tersebut, hati saya berdebar-debar kerana banyak perkara yang bermain dalam fikiran saya.

“Sudah tentu perkara pertama yang akan saya fikirkan adakah saya mampu memainkan peranan tersebut dengan jayanya apatah lagi ia berbentuk monolog panjang,” katanya yang menerima tawaran tersebut tiga minggu lalu.

Pelakon yang popular dengan siri drama Kampung Girl ini mengakui teruja untuk berlakon julung kalinya di pentas sebesar Panggung Sari, Istana Budaya kerana ini merupakan penampilan sulungnya di pentas hebat itu.

Sebelum ini Nad pernah muncul dalam teater Maduku Kalut, Muzikal Tun Razak, Projek Tanda dan Makyung Sindo.

Baginya, meskipun akan ‘berperang’ secara psikologi dengan pelakon hebat seperti Amy Mastura, Sherry Alhadad dan Juhara Ayob, beliau mempunyai cara tersendiri bagi mengatasi perasaan gemuruh.

“Dengan bantuan pengarah yang juga bekas pensayarah saya di Aswara dulu, Rosminah Tahir, saya percaya keyakinan terhadap watak ini akan saya laksanakan dengan sebaik-baiknya.

“Saya tidak mahu mengecewakan penganjur yang memberi kepercayaan kepada saya, jauh sekali untuk mengecewakan peminat yang banyak menyokong saya selama ini,” tambahnya.

Menceritkan plot cerita, Nad bukan saja memegang watak setiausaha tetapi ada ketikanya akan bertukar menjadi Kak Ani ketika zaman remaja yang mana terdapat banyak peristiwa lucu dan sedih.

Antara peristiwa lucu ialah dikejar anjing gara-gara mahu meminta derma di rumah orang kaya, mencuci kapal tentera laut untuk mendapat duit poket dan bermain bola di kawasan perkuburan.

“Peranan utama saya ialah menjelaskan kepada masyarakat dan penonton tentang tanggungjawab seorang menteri dalam melaksanakan amanah yang dipikul.

“Tugas menteri bukan goyang kaki di pejabat yang mewah atau hidup dalam dunia glamour, sebaliknya bagaimana mereka cuba menyelesaikan pelbagai masalah masyarakat hingga mengetepikan kepentingan serta keluarga sendiri,” tegas Nad.

Sebagai menghargai peminatnya, Nad juga akan mengadakan sesi eksklusif Meet & Greet With Nad Zainal sempena Hari Valentine pada 14 Februari dengan pakej bayaran RM270 (termasuk tiket persembahan, jamuan, buku program dan hadiah menarik).

Berganding dengan Nad sebagai Kak Ani ialah Dayang Kartini Awang Bujang, manakala pelakon lain seperti Misha Omar, Amy Mastura, Sherry Alhadad, Juhara Ayob, Dina Nadzir, Shahrul Mizad dan Zera Hariz akan muncul dalam kumpulan teater Nyonya.

Diari Wanita….Episod Kak Ani & Nyonya menggabungkan dua cerita dalam satu persembahan. Naskhah Nyonya ditulis oleh penulis Indonesia iaitu Wisran Hadi manakala, Kak Ani adalah sebuah karya baru yang ditulis oleh Rosminah Tahir yang mengangkat peranan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Harga Tiket RM35, RM55, RM85, RM105 & RM155 boleh dibeli dengan melayari www.AirAsiaRedtix.com. Keterangan lanjut boleh menghubungi 017-8716060/012-2977220/017-2004249/03-61866592.