Semuanya bermula apabila Farah dilihat sedikit berlebih-lebihan dengan aktor tersebut ketika mereka digandingkan sebagai penyampai trofi pada Anugerah Skrin (ASK) 2017 minggu lalu. Dalam detik beberapa minit itulah, Farah dilihat bagai syok sendiri, sedangkan Zul tidak membalas reaksi ketika ‘dicuit’ oleh wanita ini.

“Jangan tuduh begitu! Saya sikit pun tidak merasakan diri ini 'tergila-gilakan' dia, Kalau nak tahu semua dialog dan aksi yang saya buat itu ada dalam skrip yang diberi," katanya.

Menurut Farah, sebelum anugerah tersebut dia telah pun menjalani sesi raptai selama dua kali. Cuma ketika berlatih, aktor itu tidak hadir kerana komitmen lain.

Antara kejadian yang menjadi tumpuan adalah ketika cubaannya membetulkan kolar baju aktor tersebut dan meminta Zul menyanyikan lagu berjudul Baby Shark Doo Doo. Permintaannya tidak dipenuhi malah Zul juga enggan beri respon sepatutnya seperti yang diinginkan oleh pelakon wanita tersebut. Enggan dilabel ‘tergila-gilakan’ Zul, Farah punya alasan tersendiri.

“Mungkin dia terkejut dengan permintaan saya ketika, tak menyangka yang saya akan buat seperti itu di pentas. Saya pun tak tahu kenapa dia tidak membalas. Kalau orang nak cakap saya tergedik atau apa sahaja, silakan. Tetapi saya dah buat apa yang ada dalam sesi latihan, atas kehendak pihak produksi," katanya, mohon dimengertikan.

Apa yang dilakonkan ketika siaran langsung tersebut sebenarnya sama dengan watak Aisy dalam Titian Cinta, sebuah drama yang cukup mendapat perhatian penonton sebelum ini.

“Memang tak boleh bergerak ke depan dan asyik dengan karakter tersebut. Mungkin orang nampak tergedik sebab kalau atas pentas agak kurang sesuai membawakan watak itu. Kalau nak cakap saya ni gatal, mungkin saya dah terpegang-pegang dia, melebih-lebih. Betul tak?"

Pun, nilai positif yang ada dalam diri si manis ini membuatkan dia tenang-tenang sahaja. Malah, dia sudah tidak mahu ambil pusing kepada segala kutukan panas yang hinggap.

"Saya tak kisah sebab perkara sudah pun berlaku, hanya peminat yang betul-betul mengikuti drama ini sahaja yang faham. Mungkin yang menghentam saya terdiri daripada mereka yang bukan sepenuhnya mengikuti drama tersebut,” tutur pelakon ini, panjang lebar.

Jelita, seksi dan bergaya, itu yang membuatkan nama Farah Nabilah menjadi sebutan, tidak hairanlah ketika ini dia merupakan antara artis baru yang menjadi rebutan pengarah bersandarkan bakat semula jadi. Dalam masa yang sama, dia mampu menepis suara-suara sumbang yang sering melabelkan artis baru yang kebanyakannya hanya menjual rupa dan wajah semata-mata.

Bercerita lanjut tentang watak sebagai Rahadatul Aisy yang dilakonkan, Farah mengakui watak itu agak berat berbanding yang pernah dibawa dalam drama seperti telefilem Papa Ricky, Tersuka Tanpa Sengaja Raya, Ustaz Pink dan banyak lagi.

“Tak susah nak wujudkan keserasian diantara kami, profesional. Jadi bila berlakon kami mudah mesra dan apabila berhenti kami kembali jadi orang lain. Di lokasi pula kami akan buat hal masing-masing kadang-kadang tak bercakap pun antara satu sama lain. Tapi yang dapat saya simpulkan Zul seorang yang spontan, dia tengok skrip pun sepintas lalu sahaja,” ujar pelakon yang berasal dari Damansara ini. Ditanya adakah dia terbuai-buai dengan perasaannya ketika melakonkan adegan intim suami isteri dalam drama kegilaan ramai itu, Farah sedikit tergelak. Katanya, sebelum masuk ke industri lakonan dia telah pun meletakkan garis di antara kerja dan peribadi kerana tidak mahu gosip melebihi kerjayanya.

“Bagi saya tak ada sedetik pun perasaan suka atau terbawa-bawa sebab kita profesional ketika berada di set. Waktu adegan saya kena dukung pun, sebenarnya kami tergelak-gelak, banyak kali kena buat semula. Zul pula kaki gelak, jadi tak ada rasa tertekan sebab kami selesa sebagai kawan. Habis sahaja penggambaran kami tak ada pun berhubung melainkan atas urusan kerja. Sebenarnya setiap kali nak buat adegan mesra saya akan tanya dia dulu nak buat macam mana asalkan jangan berlebih sebab saya kena jaga hati keluarga. Lagi pula kalau adegan peluk atau bercium tu pun dah tentu tak lepas juga jadi tak perlu buat pun. Dalam masa yang sama saya juga akan bertanya kepada dia kalau dia ada nak jaga hati siapa-siapa jadi buatlah cara yang dia selesa,” kata Farah lagi.

Jika Zul jadi jodoh

Merupakan anak sulung daripada enam adik-beradik, pelakon jelita ini tidak terlepas daripada persoalan tentang rumah tangga. Malah dia mengakui ibunya, Haslina Ismail sering mengajukan persoalan tentang perkara tersebut dan mengharapkan dia bertemu jodoh secepat mungkin pada tahun hadapan.

“Jodoh ni bukan boleh dipaksa atau diletakkan tarikh bila dan bila kita kena berkahwin. Buat masa sekarang, calon pun tak ada lagi, macam mana hendak kahwin? Lagipun saya baru sahaja nak mulakan karier dalam bidang seni jadi rasanya buat masa ni tak terfikir lagi ke arah itu. Tambah pula umur masih muda, jauh lagi perjalanan saya untuk mencipta nama dalam bidang seni,” ujar pelakon yang mengidamkan watak antagonis ini.

Dicuit persoalan bagaimana andai ditakdirkan bertemu jodoh dengan Zul yang merupakan hero idaman ramai itu, Farah tidak hipokrit. "Kalau ditakdirkan jodoh dengan dia, kenalah terima kerana sudah takdir. Kita kenalah terima. Tetapi saya anggap tidak mungkinlah kot, sebab kami tidak ada-apa hubungan istimewa pun setakat ini dan saya lebih suka kepada lelaki bukan artis," katanya.

Cari lelaki romantik

Berperwatakan lembut dan menarik sudah semestinya menjadi kelebihan dan pastinya dalam dambaan ramai lelaki. Namun peliknya, kata Farah, sehingga saat ini tiada seorang pun lelaki yang berani mendekati dirinya.

"Kalau kenal saya secara rapat, saya wanita yang kasar, bukan seperti yang sering dilihat di TV tu.

“Masa sekolah dulu pernahlah bercinta. Selepas itu tidak ada lagi sebab tumpukan perhatian pada pelajaran dan saya pula berada di negara orang. Tetapi andai bertemu jodoh saya mendambakan seorang lelaki yang beriman, yang suka buat lawak, pandai pujuk dan sedikit romantik. Kalau lebih-lebih nanti rimas pula,” katanya, dalam ketawa besar.

Menyingkap penglibatannya dalam bidang seni, dia sebenarnya telah pun bermula dalam bidang komersial sebaik tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kemudian mula berlakon watak sampingan sebelum menyambung pelajaran dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Psikologi di Universiti Upper Iowa, Amerika Syarikat selama empat tahun setengah.