Aidit Noh

Mula menceburi bidang seni sejak setahun setengah lalu, bakat yang ada dalam dirinya kurang mendapat perhatian.

Namun sejak membawakan watak utama dalam drama bersiri Sweetie Nanie yang baru sahaja ditayangkan, dia kini menjadi tumpuan.

“Alhamdulillah ramai yang mula nampak bakat yang ada dalam diri saya apabila drama tersebut ditayangkan.

Jika dahulu orang masih samar-samar terhadap Aidit Noh, kini mereka sudah mengetahui diri saya serba sedikit.

“Ramai yang sukakan lakonan saya dan memberikan maklum balas yang baik namun tak kurang juga yang memberikan kata-kata kurang manis di laman sosial.

"Tak mengapa, saya menerimanya dengan terbuka,” katanya.

Bagi pelajar yang masih menuntut dalam bidang Kejuruteraan Pesawat di Universiti Kuala Lumpur - MIAT, Sepang, Selangor ini, pada awalnya dia agak kekok melihat wajah sendiri menghiasi kaca televisyen.

Jika melalui beberapa drama sebelum ini yang menampilkan dirinya sebagai watak tambahan, kini wajahnya menjadi perhatian apabila bergandingan dengan pelakon berpengalaman seperti Nadia Brian dan beberapa nama yang lain.

“Ini merupakan kali pertama saya membawakan watak utama. Tentu sahaja saya agak ‘segan’ untuk melihat wajah sendiri di layar kaca.

"Saya akui masih banyak perkara yang perlu dipelajari.

“Saya juga banyak menerima teguran daripada peminat yang kurang senang dengan mutu lakonan saya.

"Saya minta agar beri saya peluang dan cuba memperbaiki kekurangan,” katanya yang berasal dari kuala Lumpur ini.

Melalui drama bersiri Sweetie Nanie, Aidit beruntung kerana pengarah dan kru produksi banyak memberikan tunjuk ajar dan pelajaran baharu yang masih belum dikuasainya.

Jelasnya, teguran-teguran tersebut membuatkan dia bertambah yakin dan mengurangkan gemuruh sekaligus mencuba mengatasi kekurangan diri.

Tekad

TIDAK mahu meninggalkan pelajaran yang hanya berbaki setahun, anak kedua daripada empat beradik ini mahu menyelesaikan dahulu pelajaran sebelum membuat keputusan untuk meneruskan minat dalam bidang lakonan.

Tegasnya, dia tidak mahu melakukan dua pekerjaan pada satu masa kerana akan memberikan impak buruk kepada perjalanan kedua-dua bidang yang diceburi.

“Buat masa ini saya hanya akan masuk ke set penggambaran bila cuti semester atau pada hujung minggu sahaja. Hari biasa saya akan memberikan tumpuan kepada pelajaran dan kelas yang perlu dihadiri.

“Ada banyak tawaran yang datang apabila Sweetie Nanie ditayangkan. Tapi saya perlu melihat jadual dahulu sama ada sesuai atau tidak. Kalau sesuai barulah saya terima,” tambahnya.

Dalam pada itu, Aidit beruntung kerana keluarganya tidak pernah menghalang minat dalam bidang lakonan.

Walaupun pada peringkat awal mereka agak pelik dengan jalan yang dipilih namun masing-masing memberikan lampu hijau untuknya bergerak mengikut haluan yang dipilih.

Tapi sebagai anak, dia juga sedar dengan tanggungjawab yang dipikul dan tetap mahu menghabiskan dahulu pelajaran dan berjaya seperti yang dicita-citakan.

Sama ada dia akan memberikan tumpuan terhadap bidang seni usai selesap pengajian nanti, lelaki yang berusia 23 tahun ini belum memutuskan masa depan yang ingin dipilih.

“Buat masa ini saya masih belum menetapkan sebarang keputusan berkaitan.

"Kalau boleh saya mahu meneruskan kerjaya dalam bidang yang dipelajari tetapi enggan juga meninggalkan dunia lakonan.

“Tak apalah, biarlah masa yang menentukan,” katanya lagi.

Alhamdulillah ramai yang mula nampak bakat yang ada dalam diri saya APAbila drama tersebut ditayangkan. Jika dahulu orang masih samar-samar terhadap Aidit Noh, kini mereka sudah mengetahui diri saya serba sedikit.