Kehidupan penyanyi seorang ini boleh dikatakan berada di landasan yang betul. Jiwanya lebih tenang dan teratur. Masalah didepani dengan langkah perlahan dan matang.

Bersua bicara dengan penyanyi kelahiran Indonesia, Marcell pelbagai soalan dilontar keluar. Bukan senang untuk bertukar madah dan kata dengan penyanyi kegilaan ramai ini.

Pada usia menginjak ke angka 40, dia tampak lebih dewasa. Setiap tutur kata disusun dengan cukup indah, bicaranya juga penuh makna. Senyuman sentiasa terukir pada wajahnya.

Selama 15 tahun melayari bahtera seni dengan jayanya, lautan mana yang tidak pernah direnangi. Marcell berjaya mengukir nama sehingga ke peringkat antarabangsa menjadikan dia satu jenama yang cukup dibanggakan.

Namun detik hati penyanyi ini, dia bagaikan baru bermula semula. Kehidupannya seperti mendapat peluang kedua. Dia mahu mencuba dan menjelajah lebih banyak cabang seni yang belum pernah diterokai.

Berbicara soal kerjaya, dia bakal bergelar seorang pelakon. Bukan lagi watak hero berbalas cinta yang menjadi dambaan namun dia teruja untuk melakonkan watak aksi dalam filem baharunya.

“Ramai yang bertanyakan saya, adakah pada usia 40 tahun ini saya akan memperlahan karier? Maaf cakap, semua itu tanggapan silap. Pada angka 40 ini, kehidupan saya bagaikan bermula semula.

“Saya bakal terlibat dalam satu filem aksi tidak lama lagi. Pada masa sama, album jaz pertama saya juga akan dilancarkan.

“Kenapa saya perlu memperlahan karier di saat semuanya tersusun indah?

“Saya juga pertama kali menjadi produser bagi album yang akan datang. Susunan lagu dan pemilihan pemuzik juga menjadi pertaruhan saya. Satu penghargaan buat rakan-rakan pemuzik,” kata bapa kepada tiga orang anak ini.

Mengimbau detik mula-mula bergelar seorang penyanyi, kakinya terketar saat melangkah ke panggung suara yang pertama kali dijejaki. Perasaan malu bagaikan mengunci mati kaki.

“Marcell yang dulu sangat old school. Yalah, anak Bandung yang hanya seorang pemuzik di belakang dram. Siapa sangka nasibnya berubah dan bergelar penyanyi. Malu sangat rasanya.

“Saya banyak melakukan eksplorasi dunia seni. Saya bermula sebagai seorang pemuzik yang pemalu namun transisi diri perlu dilakukan untuk memastikan kelangsungan kerjaya sebagai anak seni.

“Sekarang ini pun, muzik sudah berubah mengikut peredaran dan kemodenan masa. Saya juga perlu berubah namun standard dan kualiti muzik harus sentiasa diberi keutamaan,” katanya.

Jangan bandingkan kami!

Beribu-ribu bintang di langit malam semuanya bersinar bercahaya sendiri. Itu perumpamaan Marcell tatkala membuka gelanggang bicara soal perbandingan dia dan penyanyi lain.

Tegas nadanya tatkala menjawab soalan, dia tidak suka sekiranya peminat dan media membandingkan seorang penyanyi dengan penyanyi lain kerana baginya masing-masing punya kekuatan tersendiri.

Kata Marcell, dia tidak mahu dan menolak sama sekali untuk diletakkan dalam ‘posisi’ tersebut. Perasan negatif dan iri hati yang cuba ditanam oleh pertanyaan rakan media di Indonesia sangat menjelikkan.

“Saya orangnya suka belajar kerana muzik itu tiada akhirnya. Tetapi apabila ada beberapa rakan media yang membanding-bandingkan saya dengan artis lain, itu cukup dibenci.

“Muzik kami sendiri sudah berbeza, jadi pastinya cara nyanyian dan persembahan juga berlainan. Masing-masing ada kelompok peminat tersendiri, jadi mengapa perlu menanam rasa benci antara kami?

“Saya menyanyi dari hati, untuk peminat yang disayangi. Saya hanya mahu terus belajar untuk memperbaiki diri. Tak guna jika ada pihak yang cuba mengubah acuan muzik saya,” katanya dengan nada sinis.

Bergelar pemuzik dan penyanyi itu sudah cukup membahagiakannya. Biarpun ada pihak yang cuba bertanya mengapa dia tidak mencipta lagu atau bergelar komposer, jujur dia tidak mahu.

“Ya, saya tidak mencipta lagu dan itu bukan satu masalah. Penghargaan peminat terhadap muzik dan nyanyian saya itu sudah mencukupi. Duit menjadi perkara kedua apabila jiwa seni mula merasuk diri.

“Mereka di luar sana tidak tahu jerih perih seorang penyanyi untuk menghasilkan sesebuah album. Saya cintakan seni dan hanya mahu menghargai bakat yang diberikan Tuhan,” katanya lagi.

‘Once in a Lifetime’

Bakal menggegarkan pentas Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dengan konsert solo sulungnya pada 23 September ini, debaran hati Marcell tiada tertafsir dengan kata-kata.

Dia cukup berdebar sementelah inilah kali pertama dalam 15 tahun kariernya tampil seorang diri di Malaysia. Dia seperti mahu membalas ‘hutang’ yang sudah lama tercatat dalam diari seninya.

“Dahulu lagu Hanya Memuji begitu popular di Malaysia tetapi di Indonesia lagu itu sudah tiga tahun berkumandang. Perasaan bersalah saya terhadap peminat di Malaysia seperti rasa berhutang.

“Jadi dengan adanya konsert Once in a Lifetime ini diharapkan hutang tersebut dapat ditebus. Ramai tanya kenapa Kuala Lumpur, bukan negara lain. Saya tidak ada jawapannya.

“Saya rasa seperti ada ikatan batin yang tidak dapat ditafsirkan dengan kata-kata. Entah kerana orangnya? Budi bahasanya? Makanannya? Saya tidak tahu tapi cinta terhadap Malaysia itu ada,” katanya.

Bakal mempersembahkan 40 lagu dalam masa dua jam setengah, cabaran utama Marcell pastinya untuk menyusun muzik supaya tidak bercelaru dan membosankan. Dia juga sudah bersedia dengan beberapa kejutan.

Diaju soalan, siapakah penyanyi Malaysia yang bakal dijemput beradu suara dengannya, penyanyi Jadi Milikku ini hanya menggelengkan kepala. Seraya tersenyum dengan nada seloroh, dia menjawab rahsia.

“Saya masih merancang. Ada beberapa nama tetapi masih rahsia. Yang pasti, konsert ini bakal memberi persepsi baharu dan membuktikan kematangan muzik saya selama ini,” katanya.

Berbicara soal lagu duetnya dengan pelakon dan model terkenal Indonesia, Raline Shah, suami Rima Melati Adams ini memuji semangat dan komitmen peragawati cantik itu untuk bergelar penyanyi.

“Secara jujurnya, jadual seorang wanita bergelar Raline Shah sangat padat dan terlalu sibuk. Dalam kata lain, gila! Tetapi apabila dia bersetuju untuk berduet menerusi lagu Bukan Milikku, semangatnya lain macam.

“Raline boleh menyanyi. Saya ibaratkan dia sebagai seorang anak seni yang boleh menyanyi, berlakon, mengacara dan bergelar peragawati terkemuka. Semuanya hasil usaha kerasnya sendiri,” kata Marcell.