Majlis persandingan yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental di sini turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 700 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan artis.

Perkahwinan Fazura, 34, dan Fattah, 27, diadakan dengan tema ‘fairytale’ atau kisah dongeng.

Menggunakan khidmat pereka fesyen duo terkenal, Rizman Ruzaini untuk mereka busana kedua-dua mempelai, Fattah dan Fazura begitu secocok ibarat merpati dua sejoli bersanding di atas pentas pelamin yang mendapat sentuhan Reka Teemor.

Antara rakan selebriti yang hadir ialah Datuk Sheila Majid, Datuk Aznil Nawawi, Fasha Sandha, Mira Filzah, Norman Hakim, Memey Suhaiza, Yusry Abd. Halim, Lisa Surihani, Dayang Nurfaizah, Bunga Citra Lestary, Ashraf Sinclair, Alvin Chong, Iswan Ismail, Adam Shadan, Jasmine Suraya, Ika Nabella dan Sazzy Falak.

Pasangan yang mula berkenalan sewaktu penggambaran Hero Seorang Cinderella pada Mei 2017 itu bernikah 27 November lalu selepas pulang daripada mengerjakan ibadah umrah bersama-sama. - Utusan Online