Presiden dan Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar berkata, naskhah yang diadaptasi dari novel karya Ramlee Awang Murshid banyak menyumbang kepada tarikan penonton ke pawagam.

“Alhamdulillah sambutan untuk filem ini amat memberangsangkan dan kami dari barisan penerbit memang bersyukur dengan sambutan daripada penonton Malaysia.

“Kami harap sokongan ini akan berterusan biarpun kami terpaksa berdepan cabaran pada minggu hadapan apabila filem Hollywood seperti Thor akan mula ditayangkan.

“Jadi saya harap penonton akan berterusan memberi sokongan kepada filem tempatan lebih-lebih lagi dengan ulasan yang sangat bagus di media-media sosial,” katanya ketika dihubungi Utusan Online.

Selain itu kata Najwa, sokongan peminat novel itu untuk menyaksikan penceritaan Tombiruo di layar perak turut menyumbang kepada jualan tiket.

“Selain itu, kualiti produksi yang kami cuba paparkan dan diharap memberi kelainan daripada filem lain.

“Saya harap hasrat itu dapat dilihat oleh penonton terutama sekali dengan cuba membawa adegan aksi yang boleh kita banggakan sebagai rakyat Malaysia.

“Barisan pelakon terkenal dan berbakat juga turut memberi impak besar dalam filem ini. Mereka semua komited dan memberi komitmen tinggi bagi mempromosikan filem terbabit,” ungkapnya.

Filem ini mengisahkan mengenai Ejim lakonan Zul Ariffin yang digeruni kerana mempunyai kuasa luar biasa dan digelar Tombiruo berikutan wajahnya yang cacat.

Dalam bahasa Kadazan dusun, Tombiruo bermaksud roh atau hantu. - UTUSAN ONLINE