POSTER TOMBIRUO 

Ketua Pegawai Eksekutif Ideate Media Sdn. Media, Zainir Aminullah berkata, selaku produser, pencapaian filem arahan bersama Nasir Jani dan Seth Larney itu cukup membanggakan dan membuktikan filem tempatan boleh diterima di peringkat Asia.

“Terkejut dan tidak sangka. Pencapaian itu cukup membanggakan. Jarang sekali filem tempatan menerima pengiktirafan dan pencapaian itu adalah testimonial kita mampu menghasilkan sebuah filem bertaraf antarabangsa.

“Kalau dilihat trend industri filem, banyak karya-karya yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa dihasilkan oleh produser tempatan. Ini satu perkembangan yang sangat baik,” katanya ketika dihubungi UTUSAN ONLINE di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zainir berkata, harapan untuk melihat kemenangan Tombiruo: Penunggu Rimba sebagai filem terbaik Asia memang memuncak namun dia mengakui saingan filem tersebut hebat-hebat belaka.

“Objektif dan misi kita untuk melihat Tombiruo: Penunggu Rimba diiktiraf di peringkat antarabangsa sudah tercapai dengan pencalonan ini. Saingan filem ini pun hebat semuanya.

“Apa yang lebih penting, kita terus menghasilkan karya-karya berkualiti untuk tontonan peminat industri filem tempatan dan luar negara. Kita perlu membangunkan industri kreatif negara,” katanya.

Filem terbitan bersama Astro Shaw, Ideate Media, Grup Buku Karangkraf dan Layar Sunan itu bakal berentap dengan lapan filem hebat lain dari seluruh Asia iaitu 1987 When The Day Comes (Korea Selatan), The Bold, The Corrupt and The Beautiful (Taiwan), Dying to Survive (China), Gali Guleiyan (India), Newton (India), Sanju (India), Shoplifters (Jepun) dan Youth (China).

Tombiruo menyaksikan gandingan mantap pelakon hebat antaranya Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Hasnul Rahmat, Datuk M Nasir, Datin Marlia Musa dan Faizal Hussein. - UTUSAN ONLINE