Tidak pernah terlintas walau sesaat untuk dia berdiri kerana populariti Aiman. Dia mahu mengumpul pengalaman dan menempuh cabaran atas bakat sendiri. Bukan atas tiket berbeza.

Jiwa kental anak muda bernama Fara Hezel ini cukup terlihat dari relung matanya. Biarpun dikecam dan berdepan kontroversi, dia masih mampu mengukir senyuman dan berpaut pada niat asal untuk bergelar anak seni.

Menyempurnakan impiannya sedari kecil, gadis berusia 22 tahun ini sentiasa belajar dari setiap kesilapan yang dia lakukan. Sama ada positif atau negatif, kecaman dan kritikan dikutip untuk dijadikan pedoman.

“Saya tahu bukan mudah untuk jadi artis. Lebih-lebih lagi saya bermula atas tiket kakak Aiman Tino. Ramai yang mengecam mengatakan saya tumpang populariti adik tapi itu kisah lama.

“Bila saya sertai Big Stage, orang mula nampak saya sebagai Fara Hezel. Bukan lagi kakak Aiman Tino. Saya kini dengan bangga boleh berdiri sendiri. Satu kepuasan untuk santapan jiwa saya,” kata anak kelahiran Kuala Kubu Bharu, Selangor ini.

Namun perjalanannya dalam program realiti, Big Stage terhenti pada minggu kedua. Mungkin belum cukup untuk membuktikan kemampuannya. Sementelah ramai yang mula mengecam kemampuan nyanyiannya.

Tidak pernah menganggap peluang menyertai program itu sebagai langkah membunuh karier sendiri, dia banyak belajar walaupun hanya dua minggu beraksi di pentas yang menyaksikan kemenangan milik Sarah Suhairi itu.

“Saya rasa memang niat semua peserta untuk menang. Tapi saya anggap bukan rezeki saya untuk bertahan lama. Dua minggu pun sudah cukup buat saya gembira. Mungkin setakat itu sahaja langkah saya.

“Saya sendiri melihat kesilapan yang berlaku datangnya daripada diri saya sendiri. Tapi saya tak mahu fikir sangat. Yang penting, kita terus buktikan bakat dan minat kita.

“Memang ada yang kecam cakap saya tak boleh menyanyi, suara tak sedap tapi saya anggap itu sekadar teguran nakal. Kita perlu terus belajar dan buktikan mereka salah,” katanya.

Bakal melancarkan single baharunya, Sukarnya Untukku hasil ciptaan komposer, Amir Haris, Fara mula melangkah dengan lebih matang. Yakin lagu itu mampu terus menaikkan namanya, Fara percaya dengan kemampuan diri.

“Saya pernah bagi hint dengan menyanyikan lagu tersebut dalam Instagram. Tak sangka pula ramai peminat menyanyikan semula lagu itu. Dari situ, saya mula yakin dengan lagu Sukarnya Untukku itu.

“Kali ini saya tidak menggunakan khidmat ibu bapa sebagai komposer. Bukan apa, saya mahu cuba sesuatu yang baharu. Lagipun saya menyukai lagu itu, kali pertama dengar, saya terus jatuh cinta,” katanya.

Teroka dunia lakonan

TIDAK mahu terperuk hanya di bawah tempurung gelaran penyanyi, Fara mencuba nasib bergelar pelakon. Berkongsi pengalaman berlakon dalam telemovie, Cikgu Pencen, Fara meluahkan rasa teruja.

Bergandingan dengan pelakon hebat lain antaranya, Bella Dally dan Redzuan Hashim, gadis cantik ini mengakui, kekok dan gementar kali pertama berhadapan kamera, namun dia gembira dengan pengalaman berharga itu.

“Mula-mula rasa takut dan tak yakin diri, betulkah (saya) boleh buat? Yalah selama ini kita menyanyi, kali ini berlakon pula. Dua bidang yang berbeza walaupun di bawah dunia yang sama.

“Cuma pelakon senior dan seluruh kru produksi banyak membantu saya dan tidak kedekut ilmu. Kekok sebab takut nak cuba perkara baharu, tapi saya mahu mencuba untuk mengembangkan lagi bakat seni,” katanya.

Mendedahkan dia pernah rasa tertekan untuk berlakon, dia kini sedar pengorbanan seorang pelakon dan kru produksi untuk menghasilkan sebuah drama atau telemovie seharusnya disanjung tinggi.

“Sebelum ini kalau menyanyi, saya hanya berada di pentas untuk beberapa jam. Lepas itu boleh balik. Berbeza dengan pelakon. Mereka kena menunggu berjam-jam lamanya di set penggambaran.

“Sebab itu saya cukup hormat dengan semangat dan komitmen mereka. (Memang) mula-mula badan saya tak boleh terima. Asyik rasa penat tapi lama kelamaan, sudah biasa,” katanya yang menyimpan impian untuk mencuba mengacara pula.

Duet dengan Zamani?

KECOH sebentar dunia seni apabila Fara dikatakan menjual cerita tentang lagu duet dengan penyanyi hebat, Zamani. Warganet mula mempersoal kelayakannya untuk bergandingan dengan legenda itu.

Langsung tidak pernah berniat sedemikian rupa, jelas Fara, dia pernah menyuarakan impian untuk berkolaborasi dengan penyanyi itu, namun semuanya masih dalam perancangan.

“Masih tiada kata putus. Semua itu hanya satu perancangan. Kalau jadi, alhamdulillah. Siapa tak nak berduet dengan Zamani, kan? Saya memang mengidolakan dia sejak kecil.

“Ada yang cakap saya tak layak untuk berduet dengan penyanyi hebat itu. Apabila baca komen-komen, kecil hati juga tapi saya kuatkan semangat dan ingat, tak semua akan suka dengan apa yang kita buat.

“Asalkan niat kita baik dan dipermudah Tuhan, untuk apa saya fikirkan kecaman dan kata-kata menyakitkan hati daripada segelintir warganet? Biarkan sahaja mereka berkokok,” katanya.

Bakal menyambung pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Fara berkata, langkah itu diambil untuk memantapkan lagi kebolehan vokal dan suaranya.

“Saya baru tamat belajar. Jadi mahu rehat sekejap dan fokus kepada dunia seni. Insya-Allah, tahun depan saya akan sambung pengajian di Aswara,” jelasnya yang memiliki Diploma Pemasaran dari Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang, Perak itu.