Namun bagi penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Langit Ke Tujuh, Sharifah Zarina, dia menganggap keadaan itu satu tanggungjawab terhadap kerjayanya sebagai seorang selebriti.

Menyedari penampilan seseorang artis memainkan peranan penting dalam memberi satu pakej lengkap selain produk nyanyian itu sendiri, Sharifah Zarina bersedia menyahut cabaran demi melangsingkan badan dengan mengamalkan diet karbohidrat.

“Sebenarnya sudah tiga tahun saya tidak makan nasi kerana kadar karbohidrat yang terdapat di dalamnya terlalu tinggi dan menjadi salah satu faktor kegemukan. Itu fakta yang tidak boleh dinafikan.

“Bagaimanapun saya sedar, karbohidrat adalah nutrisi penting untuk membekalkan tenaga kepada tubuh kita.

“Jadi sebagai alternatif lain, saya gantikan nasi dengan makanan lain yang mempunyai karbohidrat cuma makan dalam kuantiti berpatutan,” ujarnya berkongsi rahsia.

Dia yang ditemui baru-baru ini kelihatan begitu langsing berbanding penampilannya ketika menyertai program realiti Gegar Vaganza (GV) musim pertama yang disiarkan di Astro Ria.

Katanya, dia memulakan diet berkenaan sejak memasuki GV dan berterusan sehingga kini.

Menurutnya lagi, untuk mengamalkan diet tersebut, dia terpaksa bergelut dengan gejolak nafsu makannya yang membuak-buak apabila melihat nasi, makanan ruji yang dimakannya sejak sekian lama.

“Pada peringkat awal, memang sukar untuk menempuhinya. Lama kelamaan selepas berjaya mengharungi selama sebulan dan sudah menjadi rutin harian, proses itu menjadi lebih mudah.

“Paling penting disiplin. Tekadkan semangat dan cuba lawan kehendak diri. Insya-Allah dipermudah,” ujarnya.

Hasil amalan yang dilakukannya itu, penyanyi Tak Secantik Wajah itu berjaya menurunkan berat badan sebanyak 11 kilogram.

Dia kini memiliki berat badan 58 kilogram dan mahu mengurangkan tiga kilogram sahaja lagi untuk mencapai berat badan ideal seperti yang disarankan pakar pemakanan.

Di samping diet makanan yang dijaga, dia juga melakukan tarian zumba untuk mengekalkan stamina serta membuat senaman kardiovaskular. - Gambar FARID JANUDIN

Kolaborasi Ippo Hafiz

Tanpa pernah rasa berputus asa menghasilkan single pada setiap tahun, kali ini Sharifah Zarina bakal bekerjasama dengan komposer dan penyanyi muda terkenal, Ippo Hafiz untuk lagu baharunya.

Ibu kepada tiga orang anak itu berkata, setiap kali mendengar karya ciptaan pemuda berkenaan seperti Menanti Janji nyanyian Ronnie Hussien dan Redha dendangan Irfan Haris, hatinya rasa terpaut.

“Sebenarnya saya sudah mendengar kebanyakan lagu daripada album sulung Ippo. Bagi saya, dia seorang penyanyi dan komposer yang berbakat.

“Walaupun hampir setiap tahun saya keluar dengan single baharu, jujurnya saya ragu-ragu untuk menanggung kos bagi menerbitkannya.

“Ini kerana peminat sering membuat perbandingan dengan Langit Ke Tujuh yang disifatkan killer song.

“Namun sampai bila saya perlu bermodalkan lagu itu sahaja untuk menjayakan undangan persembahan?

“Sebab itu saya perlu mempunyai beberapa buah lagu. Tak mendapat sambutan di radio pun tak mengapa, asalkan saya ada variasi lagu untuk dipersembah,” jelasnya.

Selain Langit Ke Tujuh dan Tak Secantik Wajah, Sharifah Zarina juga dikenali menerusi beberapa buah lagu lagi iaitu Suratan Yang Menyakitkan, Memandang Awan dan Mengharap Cinta yang pernah dijadikan lagu tema drama-drama popular suatu ketika dahulu.