Bagi pelakon Aishah Azman, dia seboleh-bolehnya mahu lari jauh daripada ditimpa sebarang kontroversi. Apatah lagi, jika kehangatan cerita tersebut mampu membunuh kariernya sendiri.

Sedar sememangnya kontroversi adalah cara paling mudah untuk dikenali tetapi itu bukan strateginya. Dia tidak mahu menconteng kanvas seninya dengan lumpur semata-mata untuk popular.

Sementelah, pengalaman abangnya pelakon, Afiq Muiz yang pernah berdepan dengan kontroversi panas suatu ketika dahulu banyak mengajarnya untuk lebih berhati-hati.

“Tak perlu ada-adakan cerita atau gimik murahan untuk menimbulkan kontroversi yang mungkin pada akhirnya mencemarkan nama baik kita dan keluarga. Itu bukan langkah bijak.

“Bagi saya, lebih baik kita lambat dikenali daripada menggunakan kontroversi sebagai batu loncatan. Saya selesa dengan langkah tersebut. Lagipun, populariti bukan niat saya menyertai industri.

“Apa yang berlaku pada abang banyak memberi pengajaran. Kalau boleh, saya mahu elak semua itu. Saya bekerja untuk cari rezeki jaga ibu tercinta, kalau boleh tak naklah kontroversi,” kata gadis berusia 22 tahun ini.

Ditemani ibu tercinta, Hasliza Mohd semasa pelancaran drama Isteri Dalam Sangkar baru-baru ini, ada yang bertanya, Aishah seperti tidak boleh berenggang dengan ibunya itu.

Tidak menafikan dia lebih selesa ditemani ibunya jika menghadiri sebarang majlis hiburan, bagi Aishah, dia tidak mempunyai masalah untuk bersama-sama keluarganya pada setiap masa.

“Ibu seorang yang pemalu sebenarnya. Ada juga kadang-kadang saya ada ajak (ke majlis) tapi dia tidak mahu pergi. Ikut mood dia juga. Kalau dia nak ikut, saya tidak ada masalah,” katanya.

Berbicara soal drama baharunya itu bergandingan dengan Nina Iskandar dan Azrel Ismail, Aishah berkata, Isteri Dalam Sangkar menampilkan dia dalam watak jahat yang pertama kali dilakonkan.

Mengakui takut untuk membawa watak antagonis, dia pada awalnya tidak begitu yakin menjayakan watak tersebut. Namun bantuan pengarah dan rakan pelakon menenangkan hatinya.

“Kali pertama bawa watak jahat, mestinya gementar. Saya tidak mahu tampil sebagai pelakon tangkap muat. Watak jahat memang setiap drama ada cuma saya mahu bawa dengan cara berbeza.

“Saya dan pengarah banyak berkongsi idea untuk menyuntik kelainan pada watak Fasha itu. Saya kena cabar diri. Takkan hendak terima watak yang sama sahajakan, nanti peminat pun bosan,” katanya.

Selesa dengan Syafie

TIGA tahun menyulam cinta dengan pelakon, Syafie Naswip, hubungan mereka juga direstui kedua-dua belah keluarga. Sama cantik, sama padan, mereka nyata tidak langsung berahsia tentang hubungan masing-masing.

Diaju soalan, bila mahu naik pelamin, Aishah hanya tergelak kecil. Baginya, usia 22 tahun masih muda untuk mendirikan rumah tangga. Apatah lagi, kesibukannya sebagai anak seni membataskan perancangan.

Percaya dengan ketentuan jodoh, anak kelahiran Kelantan ini tidak mempunyai perancangan lanjut soal berkahwin. Namun dia mengakui, semakin selesa dengan Syafie selepas tiga tahun menjalinkan hubungan.

“Alhamdulillah, kedua-dua buah keluarga merestui hubungan kami. Lagipun saya sudah tiga tahun dengan Syafie. Sebelum jadi pelakon lagi saya sudah bercinta dengannya.

“Tapi kalau soal kahwin itu, kami belum merancang. Kami serahkan kepada jodoh. Kalau ada, tidak ke mana, kan? Saya dan Syafie pun sibuk mengukuhkan nama dalam industri,” katanya.

Ditanya apa yang membuatkan dia jatuh cinta dengan pemenang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Festival Filem Malaysia ke-25 itu, Aishah tersipu malu. Baginya, luhur hati dan sikap berani Syafie menambat hati.

“Dia seorang yang sangat baik hati dan menghormati orang tua. Lagipun, sepanjang dengannya, saya rasa selamat dan selesa. Dia seorang yang berani dan serius dalam bercinta,” katanya.